Banjir di Terengganu didapati semakin parah! 1,866 mangsa banjir dari 6 daerah dipindah ke 38 PPS!

Published by
KitaReporters

SEORANG penduduk di Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu terpaksa berenang untuk menyelamatkan diri. - Kredit foto: Bernama


KEADAAN banjir di Terengganu dilaporkan semakin parah apabila 1,866 mangsa banjir dari enam daerah ditempatkan di 38 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak pukul 4 petang tadi 18 Disember 2022. 

Jumlah itu  meningkat jika dibandingkan pada pukul 12 tengah hari (18 Disember 2022) hanya melibatkan 627 mangsa banjir dari 175 keluarga di daerah terbabit. 

Namun mangsa banjir itu bertambah selepas hujan lebat tidak berhenti-henti serta angin kencang melanda di kawasan berkenaan sejak dua hari lepas.


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan bencana banjir

BEBERAPA mangsa banjir di Kampung Pelong, Sungai Tong, Setiu pada petang 18 Disember 2022.


Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu pada petang tadi 18 Disember 2022, dari 1,866 mangsa banjir, ia membabitkan 512 keluarga di enam daerah.

Ini katanya, termasuk daerah Besut yang paling tinggi melibatkan 718 mangsa dari 188 keluarga ditempatkan di 13 PPS.


SEORANG penduduk berada di tembuk rumah di Hulu Seladang, Setiu.


Daerah Hulu Terengganu pula mencatatkan 481 mangsa dari 143 keluarga ditempatkan di 12 buah PPS.

‘’Kemaman pula membabitkan 459 mangsa dari 107 keluarga di lima buah PPS, Setiu 196 mangsa (67 keluarga) di 5 PPS, Dungun 19 mangsa (4 keluarga) di 2 PPS dan Kuala Terengganu 13 mangsa (3 keluarga) di 1 PPS. 

‘’Manakala daerah lain setakat pukul 4 petang tadi dilaporkan belum terkesan lagi dengan kejadian banjir itu tetapi mereka yang tinggal di kawasan rendah yang mudah dinaikki air dinasihatkan agar berhati-hati supaya mereka cepat berpindah jika kawasan mereka dilanda banjir,’’ katanya. 


 


 


Sementara itu, menurut sumber lain, beberapa batang jalan raya terjejas banjir di daerah terbabit terpaksa ditutup kepada kenderaan sejak 3 petang tadi (18 Disember 2022). 

Ia termasuk Jalan Jerangau (Bukit Besi) 0.4 meter dibuka kepada kenderaan berat, Jalan Chalok ke Telaga Papan (Setiu) 0.5 meter dibuka kepada kenderaan berat, Jalan Sungai Tong ke Pelong 1.8 meter ditutup kepada semua kenderaan, Jalan Jertih Ke Pasir Akar  (Besut) 0.9 meter ditutup kepada semua kenderaan dan Jalan Jertih ke Pasir Akar (Kampung Jerebun) 0.8 meter ditutup kepada semua kenderaan.

Jalan Jabi ke Pasir Akar (Bukit China) 0.35 meter juga ditutup kepada semua kenderaan, Jalan Langkap ke Pelong 0.4 meter dibuka kepada kenderaan berat sahaja, Jalan Kemasik ke Air Putih 0.3 meter ditutup kepada kenderaan ringan, Jalan Kertih ke Batu Putih 0.3 meter boleh dilalui kenderan berat sahaja dan Jalan Permaisuri ke Hulu Seladang 1.1 meter pula ditutup kepada semua kenderaan. - KitaReporters


10
10
0
13
1

Copy Link: