Terengganu perlukan satu lagi indikator! Keluar daripada Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN)!

Published by
KitaReporters

Proses pemberian vaksin kepada rakyat Terengganu giat dijalankan di seluruh negeri


KERAJAAN Terengganu berusaha untuk melengkapkan tiga indikator untuk membolehkan negeri itu dapat keluar daripada Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan segera bagi membolehkan lebih banyak perniagaan dibuka, sekali gus menghidup dan merancakkan kembali ekonomi rakyat. 

Tiga indikator tersebut ialah bilangan kes harian, jumlah penggunaan katil di ICU dan peratus penduduk melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, ketika ini negeri itu telah mencapai dua daripadanya, tetapi peratus penduduk menerima dua dos masih belum berjaya dicapai.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pelan Pemulihan Negara

Dr Alias Razak


Katanya, berdasarkan situasi semasa, kadar vaksinasi yang telah lengkap dos kedua di Terengganu masih belum mencapai 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Terengganu.

 “Saya percaya, kita mampu melakukannya secara bersama seterusnya dapat beralih ke fasa kedua bagi Negeri Terengganu,”katanya.

Katanya, bagi membolehkan Terengganu mencapai kadar vaksinasi lengkap dua dos yang dikehendaki Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keluar dari fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan segera, kerajaan negeri terus merancakkan program imunisasi pada pelbagai peringkat.

Beliau berkata, bagi memastikan  negeri itu mencapai 10 peratus, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Terengganu Trade Centre (TTC) telah dibuka sejak 26 Jun 2021 dengan kadar suntikan 200 suntikan sehari, dijangka 1,000 orang akan mendapat suntikan vaksinasi dalam masa seminggu.

Selain itu,katanya, Terengganu juga telah menjalankan integrasi bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mewujudkan PPV UniSZA, dan ia telah beroperasi 13 Jun 2021 dengan 750 suntikan sehari, dalam masa seminggu seramai 3,750 orang dijangka menerima suntikan di PPV ini.


Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa turun padang melihat proses vaksin  kepada  rakyat Terengganu


Katanya, sebanyak 16 buah PPV klinik swasta pula telah diluluskan dengan kemampuan vaksinasi sebanyak 450 sehari, dijangka 1,440 orang dapat disuntik dalam masa seminggu.

Dr Alias berkata, dua buah hospital swasta turut dilantik sebagai PPV iaitu Hospital Salam telah beroperasi 27 Jun 2021 lalu.

Pusat Perubatan Intan akan bermula beroperasi pada 4 Julai 2021, dan dijangka 100 suntikan sehari dapat diberikan, maka dalam seminggu 500 orang dijangka akan menerima suntikan di PPV tersebut. 



Katanya, 10 buah PPV klinik kesihatan luar bandar akan mula beroperasi 1 Julai 2021 dengan jangkaan 500 suntikan sehari, dalam seminggu 2,500 orang dijangka menerima suntikan.

Selain itu, tiga buah PPV Industri diwujudkan antaranya di Eastern Steel, Kemaman yang akan mula beroperasi pada 2 Julai 2021 membabitkan 1,380 orang pekerja akan menerima suntikan.  

Dr. Alias berkata, antara PPV Industri lain yang turut dibuka adalah di Kerteh Integrated Petrochemical Complex, Kerteh yang akan mula beroperasi pada 12 Julai 2021 membabitkan 4,800 orang pekerja akan menerima suntikan dan Duyong Offshore membabitkan 5,500 orang pekerja yang akan menerima suntikan. 



"Kita menjangkakan dalam tempoh 7 hari, kita dapat mencapai kadar vaksinasi 10 peratus yang telah lengkap suntikan dos kedua dengan suntikan sebanyak 88,126 orang, sekaligus memudahkan rakyat menerima vaksin," ujarnya. 

MKN menetapkan tiga kriteria bagi membolehkan peralihan fasa berlaku, Terengganu telah melepasi dua daripadanya iaitu bilangan kes harian bawah 100 dan penggunaan katil di ICU yang rendah. - KitaReporters


 

 

5
1
0
0
0

Copy Link: