Gambar hiasan... Masjid Hadhari Bandar Jertih


Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bersetuju perlaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau dengan tidak membenarkan aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat di masjid di 15 mukim dalam daerah Besut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Osman Muda berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan solat Jumaat di kawasan PKPD bagi daerah Besut diganti dengan solat zuhur bagi mencegah penularan COVID-19.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masjid

Osman Muda


Katanya, baginda amat mengambil berat dan menzahirkan kebimbangan akan peningkatan kes positif jangkitan harian COVID-19 di daerah Besut.

Beliau berkata, keputusan tersebut selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan PKPD di 15 mukim dalam Daerah Besut bermula 22 Mei hingga 4 Jun 2021.

“MAIDAM bersetuju selepas mengambil kira pandangan Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Terengganu dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, perlaksanaan berikutan daerah Besut yang dikenakan PKPD berikutan jangkitan COVID-19 yang tinggi di negeri itu," katanya dalam satu kenyataan, 24 Mei 2021.

Osman berkata, solat berjemaah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum seramai lima orang sahaja melibatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.


Masjid Kayu Ulul Albab Seberang Jertih.Gambar hiasan


“Ahli kariah hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat zohor dan menunaikan solat-solat fardu yang lain di rumah masing-masing,” kata Osman dalam satu kenyataan itu lagi.

Katanya, laungan azan di masjid dan surau adalah dibenarkan sebagai memakluman kepada ahli kariah berkaitan masuk waktu solat tetapi  aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain tidak dibenarkan.


Kenyataan Media MAIDAM


Menurutnya lagi, solat jenazah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan.

Beliau berkata, pengurusan dan solat jenazah hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan hanya melibatkan kehadiran pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga terdekat tidak melebihi dua puluh orang sahaja.



Manakala, pengurusan pengebumian jenazah di tanah perkuburan pula dilaksanakan dengan kehadiran tidak melebihi dua puluh orang terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati sahaja.

Katanya, mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.



“Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan dan garis panduan serta arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dari semasa ke semasa,” ujarnya. 

Osman berkata, Sultan Mizan menyeru rakyat jelata khususnya di kawasan yang terlibat dengan PKPD mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan sama-sama memainkan peranan bersama barisan hadapan dalam menangani wabak ini dari terus merebak dan seterusnya ianya dapat dikawal sepenuhnya. - KitaReporters


 

1
1
6
0
0

Copy Link: