Kejadian tanah runtuh pada 18 September 2021 lalu di Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands. - Kredit foto: Utusan Malaysia


KENDERAAN ringan kini boleh melalui Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands Kilometer (KM) 43.95 apabila lencongan sepanjang 450 meter di Laluan Persekutuan FT185 mula dibuka 24 September 2021.

Lencongan berkenaan dibina sebagai laluan sementara bagi kenderaan tidak melebihi lima tan sahaja setelah jalan sedia ada sebelum ini ditutup sepenuhnya berikutan kejadian jalan runtuh.

Memetik laporan Kosmo, 24 September 2021, Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi satu kenyataan memaklumkan pembukaan jalan lencongan itu tidak melibatkan kenderaan berat.

“Hanya kenderaan ringan sahaja dibenarkan melalui jalan lencongan dan bagi kenderaan berat boleh gunakan laluan alternatif FT59 Jalan Tapah ke Cameron Highlands sehingga ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

“Ketika ini kerja-kerja kawalan dan pembaikan cerun runtuh giat dilaksanakan. Pengguna jalan raya diingatkan sentiasa patuhi arahan serta tanda arah lencongan ketika melalui jalan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini,” kata kenyataan itu.

Untuk info, laluan di KM43.9 berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan setelah berlakunya kejadian jalan runtuh sepanjang 30 meter pada 18 September 2021. - KitaReporters


 

15
10
0
14
0

Copy Link: