Gambar hiasan… Suntikan vaksin covid-19 diambil penjawat awam mampu memberikan lebih keyakinan serta jaminan kepada orang awam. - Kredit foto: Harian Metro


SEMUA penjawat awam diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan perlu segera melengkapkan imunisasi berkenaan sebelum 1 November 2021.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan memaklumkan seramai 16,902 atau bersamaan 1.6 peratus penjawat awam di negara ini belum mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Walaupun jumlah penjawat awam yang tidak mendapatkan vaksinasi adalah kecil, namun pengambilan imunisasi berkenaan mampu berikan lebih keyakinan serta jaminan kepada orang awam.

“Vaksinasi ini juga memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. Berikutan itu, JPA mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin,” katanya dipetik laporan Berita Harian, 30 September 2021.

Tambah kenyataan itu lagi, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].

Tindakan tatatertib boleh dikenakan selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa sekiranya penjawat awam  belum mengambil vaksin selepas tempoh ditetapkan tanpa mendapat pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan.

Untuk info, pada  21 September 2021, JPA dalam kenyataannya berkata pihaknya akan membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Jabatan itu memaklumkan, kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan. - KitaReporters


 

16
8
0
15
0

Copy Link: