Berita Terkini| Sandakan catat kes kematian tinggi di Sabah! 54 kes maut keseluruhan dilaporkan!

Published by
KitaReporters


DAERAH Sandakan mencatat kes kematian tertinggi akibat COVID-19 dengan 21 kes daripada 54 jumlah kematian keseluruhan yang direkodkan di Sabah pada Rabu, 8 September 2021.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daerah Tawau turut mencatat kematian yang tinggi akibat COVID-19 dengan sebanyak 14 kes dilaporkan.

"Selain itu, sebanyak enam kes kematian dilaporkan di Lahad Datu, tiga kes di Kota Kinabalu, masing-masing dua kes di Keningau dan Papar, manakala masing-masing satu kes kematian di Semporna, Sipitang, Ranau, Kinabatangan, Penampang dan Kunak," katanya dalam kenyataan pada Khamis, 9 September 2021.

Kes kematian akibat COVID-19 di Sabah turut menunjukkan, peningkatan sembilan kes berbanding 45 kes pada Rabu dan yang tertinggi selepas 55 kes kematian yang dilaporkan pada 4 September 2021 lalu.

Selasa,7 September 2021, Tawau mencatat kematian tertinggi akibat COVID-19 dengan sebanyak 17 kes dan mencatat kedua tertinggi semalam dengan sebanyak 14 kes.

Sementara itu, Masidi berkata seramai 5,668 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh di Sabah, manakala seramai 4,983 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). - KitaReporters 


7
22
0
12
0

Copy Link: