KHIDMAT kaunseling dan kekeluargaan kepada pasangan yang sedang menghadapi konflik akan ditambah baik oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Hal Ehwal Agama bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

Menteri Di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, cadangan baharu kolaboratif antara kedua-dua pihak menerusi Projek Rintis bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Selain itu, projek tersebut akan memperkasakan masjid sebagai pusat transit dan aktiviti psikososial bagi kesejahteraan wanita dan ibu tunggal.

Tambahnya, dua buah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah dijadikan projek rintis itu iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail sebagai tempat perlindungan sementara mangsa keganasan rumah tangga.

“Alhamdulillah, pagi ini bertemu dengan Datuk Seri Rina Harun bagi membincangkan program-program kolaborasi strategik antara JPM (Hal Ehwal Agama) dengan KPWKM mengenai isu-isu melibatkan institusi keluarga, remaja, ibu tunggal dan beberapa kumpulan khusus yang memerlukan perhatian sebaiknya.

“Beberapa buah masjid di Wilayah Persekutuan telah melaksanakan inisiatif yang proaktif bagi menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook pada Selasa, 21 September 2021. - KitaReporters


13
11
0
18
0

Copy Link: