SERAMAI 23,487 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam bagi kemasukan sesi Oktober 2021 boleh menarik nafas lega, apabila ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500 seorang.

Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tawaran yang membabitkan peruntukan RM35 juta itu disediakan bagi membantu pelajar menampung sebahagian perbelanjaan persiapan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ia juga bagi memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki IPT disebabkan masalah kewangan. Wang pendahuluan ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima WPP semasa mengisi permohonan di UPU Online atau melalui portal kemasukan IPTA.

“Syarat lain ialah ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan memenuhi kriteria ditetapkan oleh PTPTN,” katanya seperti dipetik Bernama, Sabtu 25 September 2021.

Katanya, pelajar yang mendapat tawaran tersebut boleh menunaikannya di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Bhd di seluruh negara bermula 24 September 2021, dan menghubungi PTPTN bagi sebarang pertanyaan. - KitaReporters


13
11
0
15
0

Copy Link: