Gambar hiasan... Penguatkuasaan rentas daerah dikekalkan di Sabah ekoran peningkatan kes Covid-19. - Kredit foto: FB Polis Sabah


KERAJAAN Negeri Sabah kekalkan penguatkuasaan sekatan rentas daerah termasuk bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin berikutan peningkatan kes harian Covid-19 yang membimbangkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia langkah terbaik buat masa ini memandangkan kes kian meningkat walaupun banyak kawasan telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sejajar dengan aktiviti rentas daerah yang masih belum dibenarkan di negeri ini, jadi sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan.

“Kita harap rakyat di Sabah dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk kekang penularan Covid-19 termasuk langkah pemberian vaksin kepada orang ramai dengan secepat mungkin,” katanya dipetik daripada laporan Utusan Malaysia, 13 Ogos 2021.

Terdahulu, sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap divaksinkan di negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Berdasarkan SOP Fasa 2 PPN yang dikemas kini 12 Ogos 2021 menyatakan sekatan rentas daerah di Sabah masih berkuat kuasa kecuali bagi kes kecemasan, urusan kerja (dengan surat majikan), janji temu vaksinasi Covid-19 dan sektor perkhidmatan perlu.

Manakala, pergerakan rentas negeri dibenarkan bagi kes kecemasan, pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur di bawah 18 tahun dengan syarat perlu mendapat surat kebenaran daripada polis. KitaReporters


0
0
0
1
0

Copy Link: