Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim menyoal pasangan kenal seminggu yang dicekup berkhalwat dalam sebuah rumah di Kulim. - Kredit foto: Ihsan PADK


PASANGAN yang baru seminggu berkenalan melalui WhatsApps ditangkap khalwat di sebuah rumah di Kampung Pondok Labu, Kulim pada kira-kira jam 1.05 pagi, 12 Ogos 2021.

Lelaki berkenaan yang berusia 22 tahun bersama remaja perempuan berumur 17 tahun itu dicekup dalam satu serbuan oleh Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di rumah itu.

Ketika serbuan dilakukan di rumah lelaki yang bekerja di sebuah kilang ayam itu, remaja perempuan tersebut ditemui bersembunyi dalam bilik air tanpa baju.

Sebelum kejadian, lelaki berkenaan sanggup merentas negeri untuk mengambil wanita itu di Juru, Pulau Pinang sebelum membawanya pulang ke rumah menggunakan laluan tikus.

Pegawai Agama Daerah Kulim, Syeikh Mohd Haizan Hamzah berkata mereka dipercayai berkenalan menerusi WhatsApp sejak seminggu lalu sebelum dicekup berkhalwat.

"Ketika serbuan dilakukan hanya mereka berdua dalam rumah berkenaan dan disyaki melakukan maksiat kerana hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen punyai hubungan mahram atau suami isteri. 

"Laporan polis berhubung tangkapan mereka dibuat di balai polis berhampiran dan mereka diambil keterangan untuk membantu siasatan," katanya yang dipetik daripada laporan Harian Metro pada 12 Ogos 2021.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya lagi, lelaki tersebut berasal dari Padang Serai, Kulim manakala remaja perempuan berkenaan pula menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - KitaReporters 


0
0
0
0
0

Copy Link: