KERAJAAN negeri Kelantan akan melaksanakan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah menengah yang berusia 17 dan 18 tahun bermula pada pertengahan September 2021 ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, pelaksanaan itu sebagai persediaan bagi membolehkan pelajar memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memutuskan untuk memberi vaksin Covid-19 kepada pelajar bermula dengan mereka yang berusia 17 dan 18 tahun.

“Pelaksanaannya akan dimulakan pada pertengahan September ini,” katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian, Selasa, 24 ogos 2021.

Beliau berkata, Kelantan memohon tambahan vaksin sebanyak 200,000 dos daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya pertengahan Oktober ini.

“Pada September, kerajaan negeri dijangka mendapat sebanyak 700,000 dos vaksin Covid-19 dan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan tambah vaksin untuk Kelantan bagi memastikan negeri ini mencapai imuniti kelompok. - KitaReporters


 

1
0
0
0
0

Copy Link: