Migrasi kerja di negeri lain mungkin punca Terengganu tidak dapat mengesan seramai 74,910 populasi dewasa yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi membolehkan negeri mencapai tahap imuniti kelompok yang disasarkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya sedang mengesan populasi dewasa berkenaan berdasarkan data yang ada selain memperhalusi data yang sama bersama agensi berkaitan pada peringkat persekutuan bagi mengelak pertindihan.

"Mengikut unjuran penduduk, ada 74,910 penduduk dewasa yang belum mendapat suntikan dan kerjasama semua pihak diperlukan dalam mengesan mereka ini.

"Sehubungan itu, kita meminta menduduk dewasa yang berumur 18 tahun ke atas yang belum mendapatkan suntikan vaksin agar segera mendapatkannya di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan yang boleh dilakukan secara 'walk in' (jumpa terus) atau panggilan My Sejahtera," katanya seperti dipetik Berita Harian, Rabu, 15 September 2021.

Ahmad Samsuri berkata, setakat ini kadar vaksinasi rendah dikenal pasti di beberapa daerah iaitu Dungun, Setiu dan Besut.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berkaitan di daerah berkenaan termasuk pejabat kesihatan daerah, agensi-agensi, pejabat daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sedang mencari seramai mungkin penerima vaksin. - KitaReporters


9
14
0
14
0

Copy Link: