Dari kiri: Dinesh Ratna, Prakesh Swaminathan, Marsha dan Ikhwan Fattana.


Kesinambungan kepada lagu runut bunyi drama ‘Lelaki Itu’ yang trending, ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’, penyanyinya, Marsha Milan kini sekali lagi memukau peminatnya melalui single terbaharu ‘Hening Rindu’.

Juga sedang trending sebagai runut bunyi untuk drama, “Aku Bukan Ustazah’ di TV3, ‘Hening Rindu’ tidak kurang bakal menggugat jiwa pendengar mahu pun penonton yang menyaksikan drama tersebut di slot Akasia setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.



“Saya sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema drama iaitu kali ini 'Aku Bukan Ustazah'. 

"Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam. Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  disampaikan,” ujar Marsha pada majlis pelancaran video muzik (MV) ‘Hening Rindu’ yang diadakan di Warner Music (Malaysia) baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Warner Music, Dinesh Ratna; Ketua Alternate Records, Prakesh Swaminathan; dan komposer Ikhwan Fattana.

Dengan melodi yang syahdu dan sarat dengan maksud tersirat, Marsha berharap lagu ciptaan Ikhwan Fattana dan Wan Salleh ini dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hatinya ketika merakamkannya.

Siapa sangka daripada seorang pelajar Akademi Fantasia (AF) musim ke-3 yang meraih tempat keempat, Marsha Milan Londoh mampu menapak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (2022) pada kedudukan kedua, sekali gus meraih kemenangan dalam  kategori  ‘Persembahan Terbaik’ melalui lagu ‘Cinta’.


Marsha menyampaikan lagu 'Hening Rindu' dengan penuh penghayatan.


Sesungguhnya lagu balada bergenre cinta sesuai dengan vokal Marsha yang  kian mantap berbanding pertama kali di pentas hiburan sebagai pelajar AF.

“Mendengar melodi 'Hening Rindu' sangat menangkap hati, saya terus menyukainya dan bersetuju untuk berkolaborasi. Lagu dan video ini sangat istimewa bagi saya, sesuatu yang saya rasa kita semua mungkin pernah rasa,” jelas Marsha.

Tidak menafikan lagu tersebut membawa ia kembali pada suasana balada tahun 90-an tetapi dengan sentuhan yang moden.  

“Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek kreatif yang besar ini. Sebagai seorang penyanyi saya rasa ia sentiasa menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas yang diberikan,'' tambah beliau. 



Merupakan lagu single ke-8 Marsha bersama Alternate Records & Talents, ‘Hening Rindu’ digarap penuh dengan emosi dan perasaan rindu yang mendalam melalui melodi yang memukau.

Liriknya dibuai oleh gambaran perasaan kehilangan, kenangan yang berharga, dan cinta yang abadi walaupun dipisahkan oleh jarak dan waktu malah pasti menyentuh hati pendengar dengan tema universal tentang cinta dan rindu yang dialami setiap insan.

“Vokal Marsha yang sangat luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam Hening Rindu. Ini merupakan kolaborasi saya yang pertama dengan Marsha dan dia  sangat-sangat hebat!  Sangat teruja untuk melihat kejayaan Marsha untuk Hening Rindu,” komen Ikhwan Fattana.



Muzik video 'Hening Rindu' adalah kesinambungan kepada 'Dulu, Kini dan Akhirnya’ arahan Izuan Mokhtar, yang membongkarkan tentang Marsha yang diabaikan sebelum ini oleh suaminya Mirza, kerana Mirza sudah mempunyai perempuan lain iaitu Qaidah. 

Selepas pergaduhan, Marsha terlibat kemalangan sehingga meninggal dunia termasuk bayi di dalam kandungannya. Penyesalan Mirza di atas segala perbuatannya terhadap isterinya digarap dengan baik dalam setiap babak. 

Muzik video ini juga menampilkan lokasi-lokasi yang indah dan sinematografi yang mempesonakan di sekitar Eco Majestic, Batai, Sepang, UPM Serdang, Subang Bestari dan Tadom Hill, menjadikan ia sebuah karya seni yang lengkap. 

Penggambaran yang mengambil masa 3 hari ini turut menampilkan penampilan khas Dato’ Adi Putra sebagai Mirza. - KitaReporters


18
16
0
12
0

Copy Link: