Mengangkat slogan ‘Rakyat Keutamaan Kami’, program ‘Berita 757’ yang mula dilancarkan pada 1 Februari 2022  lalu berjaya merekodkan kedudukan kedua teratas atau ‘Top 2’ bagi kategori berita dalam bahasa Melayu dengan jumlah tontonan melebihi 18 juta.

Menerusi durasi 33 minit, ‘Berita 757’ membawakan laporan harian yang merangkumi berita-berita nasional, tempatan dan luar negara merentasi segmen politik, isu semasa, ekonomi, jenayah, hiburan dan sukan dengan tumpuan menyalurkan maklumat telus dalam menyuarakan kebenaran demi menjaga kebajikan rakyat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pembaca berita



“Selaku stesen televisyen yang berperanan sebagai cermin masyarakat, kami memikul tanggungjawab besar dalam melaporkan berita yang diperoleh daripada sumber yang tepat secara adil tanpa memihak atau dikawal oleh mana-mana pihak yang mempunyai kuasa politik atau berkepentingan,” ujar Dato Adam Ilyas selaku Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV ketika ditemui pada majlis pengumuman kolaborasi strategik Berita 757 bersama Datuk Aznil Nawawi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau akan mempertahankan agar ‘Berita 757’ terus konsisten mengupas kandungan berita berkaitan isu-isu semasa dan sensitif yang dekat dengan masyarakat tanpa berpihak kepada mana-mana pihak.

“Seperti yang kita tahu, saluran berita merupakan salah satu komponen utama pilihan audiens yang berperanan untuk memberikan akses kepada sumber maklumat penting.

Kami berpegang kepada kebebasan media serta berani menongkah arus untuk memberi kritikan dan teguran membina sambil menyalurkan maklumat.

“Namun begitu, walaupun corak pemberitaan laporan ‘Berita 757’ bersifat agresif dan vokal, kami tetap mengambil kira soal sahsiah dan menitikberatkan kawalan ke atas setiap isi kandungan liputan yang dibuat kerana sedar akan implikasi yang mungkin boleh berlaku setelah maklumat tersebut disebarkan dan diterima oleh orang ramai,” tambah Adam.


Dari kiri: Adriana, Nadhra, Pak. Nil, Dr. Mohd Ghazali dan Ain Syuhada,


Ketika ini, ‘Berita 757’ dikemudikan oleh empat personaliti berita yang bertanggungjawab untuk mengendalikan slot harian secara bergilir-gilir setiap hari iaitu  Dr. Mohd Ghazali Taib, Ain Syuhada Ahmad Bohari,  Nadhra Mohd dan Adriana Ghafar.

Bagi menyuntik kelainan unik dan segar dari segi penyampaian dan persembahan secara visual sekali gus menyerlahkan pesona barisan personaliti ‘Berita 757’, selebriti tersohor tanah air, Aznil Haji Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil dilantik sebagai tenaga pengajar bagi melatih serta membimbing mereka untuk silibus pembinaan karekter, pembentukan bahasa tubuh yang efektif merangkumi ekspresi wajah, gerakan badan, lontaran suara, disiplin pengucapan awam terutamanya di hadapan kamera, teknik berinteraksi, penjagaan tata rias dan sebagainya.

“Kami amat berbesar hati dengan kehadiran Pak Nil yang sudi berkongsi pengalaman dan kepakaran yang beliau miliki untuk melatih personaliti ‘Berita 757’. 

"Dengan legasi seni lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang pengacaraan, kredibiliti dan reputasi cemerlang beliau sebagai personaliti TV dan pengacara yang disegani meletakkan Pak Nil sebagai guru yang dilihat paling layak untuk memberikan tunjuk ajar kepada pembaca berita kami,” ulas Adam sambil berharap ilmu yang diturunkan Pak Nll memberikan satu lagi tanda aras baharu untuk bidang pengacaraan.

Sehubungan itu juga, Adam mengumumkan Awesome TV akan mengambil initiatif mencari bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai personaliti ‘Berita 757.

“Sesi uji bakat terbuka bakal diadakan selepas hari raya nanti dan butirannya akan dikongsikan dalam masa terdekat,” jelas Adam.




Sementara itu, Pak Nil melahirkan rasa terujanya dapat berkolaborasi buat pertama kalinya dengan Awesome TV dan menganggap pelantikannya untuk melatih personaliti berita  uimpama ‘sirih pulang ke ganggang’ waima beliau sendiri pernah menjadi pembaca berita.

“Tugasan saya untuk melatih penyampai berita yang bukan pada takuk lama tetapi mereka yang berani berubah dan berfikir di luar kotak untuk memberikan nafas baharu dalam pemberitaan yang disampaikan,” ujar Pak Nil.

Tambahnya, selain penampilan yang menarik, beliau mahu mencari seorang bintang baharu  yang bukan hanya menyampaikan berita tetapi mampu memberikan percambahan idea dan tidak sekadar menjadi ‘pak turut’ semata-mata.

“Sudah tentu sewaktu temu duga saya akan bertanya apa yang mereka mahu berikan untuk Awesome TV dan jika jawapannya sama seperti yang pernah kita dengar ia bermakna mereka masih berada di kotak lama. 

"Tetapi jika dia memberikan idea baharu yang kita tidak terfikir maka dialah orang yang  kita cari dan bimbing,” akhiri Pak Nil.

Program ‘Berita 757’ yang bersiaran secara langsung pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 7:57 malam boleh ditonton di platform Astro saluran 123 dan MyTV saluran 112. - KitaReporters


Bersama Adam (tengah) dan Pak Nil serta 4 pembaca berita, turut hadir Sofwan Mahmood selaku Ketua Bahagian Berita, 'Berita 7:57' di Hotel Concorde baru-baru ini,

9
15
0
13
0

Copy Link: