MENJELANG tahun 2020, genaplah 58 tahun usia filem perisikan penuh aksi, James Bond. Dalam tempoh itu pelbagai judul filem dihasilkan dengan enam pelakon memegang peranan sebagai ejen perisik paling berprestij, diminati dan dikagumi di seluruh dunia.

Gambar dari https://www.slashfilm.com/james-bond-kill-count/


Bermula dengan Sean Connery yang memegang watak James Bond dalam filem ‘Dr. No’ bergandingan dengan Ursula Andress pada 1962, rentetan watak James Bond dipegang oleh George Lazenby (1969), Roger Moore (1973), Timothy Dalton (1987), Pierce Brosnan (1995) dan Daniel Craig (2006 hingga kini).

Seperti kebiasaannya, gadis-gadis jelita menjadi gandingan Bond. Antaranya Ursula Andress (Dr. No);  Jill St. John (Diamonds Are Forever); Jane Seymour (Live and Let Die); Barbara Bach (The Spy Who Loved Me); Maud Adams (Octopussy); Tanya Roberts (A View To A Kill);  Michelle Yeoh dan Teri Hatcher (Tomorrow Never Dies);  Eva Green (Casino Royale) dan Lea Seydoux (Spectre).

URSULA ANDRESS


MAUD ADAMS


JANE SEYMOUR


TANYA ROBERTS


BARBARA BACH


TERI HATCHER


MICHELLE YEOH


EVA GREEN


James Bond, yang menampilkan watak ejen M16 British dengan kod 007  mencatatkan sejarah sebagai filem bersiri paling lama bertahan. 

Filem berdasarkan watak imaginasi ciptaan Ian Fleming ini tetap segar dalam kalangan peminat walau pun 58 tahun sudah berlalu. Kemunculan filem-filem baharunya sentiasa ditunggu.

Sehingga kini 24 filem Bond sudah dihasilkan, tidak termasuk ‘No Time To Die’ lakonan Danial Craig yang bakal ditayangkan April tahun depan.

SEAN CONNERY


‘Dr. No’ diikuti oleh ‘From Russia With Love’ (1963); ‘Goldfinger’ (1964);  ‘Thunderball’ (1965) dan ‘You Only Live Twice’ (1967). Kesemua filem ini dilakonkan oleh Sean Connery.

GEORGE LAZENBY


Connery diganti oleh George Lazenby pada 1969 melalui filem ‘On Her Majesty’s Secret Service’. Inilah filem Bond tunggal dibintangi aktor Australia itu.

Sean Connery kembali seketika memegang watak Bond pada 1969 membintangi ‘Diamonds Are Forever’ bersama aktres Jill St. John.

ROGER MOORE


Roger Moore mengambil alih tempat Connery dengan filem pertamanya ‘ Live and Let Die’ pada 1973 bersama Jane Seymour. Ini diikuti dengan ‘The Man With the Golden Gun’ (1974) dan ‘The Spy Who Loved Me’ bersama Barbara Bach pada 1977.

Seterusnya ‘Moonraker’ (1979); ‘For Your Eyes Only’ (1981); ‘Octopussy’ bersama Maud Adams pada 1983 dan ‘A View To A Kill’ pada 1985. Inilah filem Bond terakhir Roger Moore.

TIMOTHY DALTON


Timothy Dalton kemudian beraksi sebagai James Bond melalui dua filem, ‘The Living Daylights’ (1987) bersama Maryam d’Aboo dan ‘Licence To Kill’  pada 1989.

PIERCE BROSNAN


Pierce Brosnan menggantikan Dalton dengan filem pertama ‘GoldenEye’ (1995); ‘Tomorrow Never Dies’ (1997); ‘The World Is Not Enough’ (1999) dan ‘Die Another Day’ (2002) yang merupakan filem terakhirnya sebagai Bond.

DANIEL CRAIG


Daniel Craig mengambil alih dengan filem ‘Casino Royale’ (2006), diikuti ‘Quantum of Solace’ (2008) ; ‘Skyfall’  (2012) dan ‘Spectre’ (2015). Filem Bond terbaharu lakonannya, ‘No Time To Die’ bakal ditayangkan pada April tahun depan.

Untuk rekod, ada dua filem James Bond yang dianggap tidak rasmi. Ini kerana ia tidak dikeluarkan oleh Eon dan diedarkan oleh MGM seperti kebiasannya untuk filem-filem Bond. 

Filem tersebut ialah  ‘Casino Royale’ dibintangi David Nivens, keluaran Famous Artists dan Columbia pada 1967.  Sebuah lagi ‘Never Say Never Again’ lakonan Sean Connery pada 1983. Ia menyaksikan Connery muncul kembali selepas 12 tahun ‘bersara’. Filem ini dikeluarkan oleh Talia Filem dan diedarkan oleh Warner Bros.

Walau pun Sean Connery memegang rekod sebagai James Bond pertama, dia bukanlah ejen 007 yang paling lama ‘memegang jawatan’ perisik British itu.

Sebaliknya Daniel Craig yang mengambil alih tugas pada 2005 memegang rekod paling lama ‘berkhidmat’ sehingga kini. Pada tarikh 19 Oktober lalu, Craig sudah berkhidmat selama 5,119 hari atau hampir 14 tahun.

Tempoh perkhidmatan watak James Bond dikira daripada tarikh seseorang aktor itu mendapat tawaran rasmi memegang peranan tersebut sehinggalah tugasnya diambil olih oleh pelakon lain.

Sebelum ini, rekod perkhidmatan paling lama dipegang oleh Roger Moore yang membintangi tujuh buah filem Bond sepanjang 5,118 hari berkhidmat.

Moore dipilih menjadi James Bond bermula 1 Ogos 1972 sehingga 6 Ogos 1986  apabila Timothy Dalton menggantikannya.

Daniel Craig secara rasmi memegang watak Bond pada 14 Oktober 2005 dan telah membintangi empat buah filem sehingga kini. Yang terakhir ialah ‘Spectre’ yang ditayangkan pada Oktober 2015.

Dia akan terus memegang jawatan ini sekurang-kurangnya sehingga April 2020 apabila ‘No Time To Die’ lakonannya ditayangkan. Ada kemungkinan selepas filem ini, Craig akan bersara.

Pierce Brosnan, yang memegang watak Bond sebelum Danial Craig, berada pada kedudukan ketiga dalam carta tempoh perkhidmatan, sementara Sean Connery, pemegang watak asal Bond pada kedudukan keempat.

Ini diikuti Timothy Dalton, yang berada pada kedudukan kelima, sementara George Lazenby yang hanya membintangi sebuah filem berada pada kedudukan terakhir.

Perlu disebut penampilan Sean Connery pada 1983 dalam filem Bond yang dianggap ‘tidak rasmi’,  ‘Never Say Never Again’ tidak diambil kira dalam pengiraan tempoh perkhidmatan sebagai ejen perisik berkenaan.

Secara terperinci, tempoh memegang jawatan James Bond ialah Daniel Craig 5,119 hari sehingga 19 Oktober 2019; Roger Moore 5,118 hari; Pierce Brosnan 4,146 hari; Sean Connery 3,049 hari; Timothy Dalton 2,863 hari dan George Lazenby 875 hari.

James Bond yang mencatatkan rekod kejayaan di seluruh dunia bagi setiap filem yang ditayangkan sejak ‘Dr. No’ pada 1962, akan meraikan ulang tahun ke-60 pada 2022.

Mungkin ketika itu juga James Bond baharu akan muncul. Kita belum tahu siapa. Yang pasti dia akan terus menjalankan pelbagai tugas mencabar berbekalkan ‘Licensed To Kill’ atau ‘Dilesen Untuk Membunuh’!


3
0
0
0
1

Copy Link: