Salah seorang penoreh getah, Norman Harun menunjukkan hasil kebun yang semakin berkurangan.


Penghasilan yang berkurangan serta harga lantai getah sekerap yang terlalu rendah meletakkan penoreh dan pekebun kecil getah berada dalam golongan miskin.


RATA-RATA pekebun kecil dan penoreh getah di sekitar Labis yang ditemui menzahirkan harapan agar mereka menjadi antara golongan yang diberi perhatian oleh kerajaan dalam perancangan Belanjawan 2022 yang dijangka bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada penghujung bulan Oktober 2021 ini.

Salah seorang penoreh getah, Laham Mohd. Yassin, 61, berkata, walaupun pahit, penoreh getah terpaksa menerima hakikat kehidupan mereka ketika ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang berikutan harga getah yang hanya berlegar di bawah paras RM3.00 sekilogram sejak hampir 10 tahun kebelakangan ini.

"Saya juga berharap kerajaan mengkaji semula penetapan harga lantai getah sekerap yang ditetapkan pada kadar RM2.50 ketika ini kerana nilai tersebut adalah terlalu rendah dan tidak mampu membantu pekebun kecil dan penoreh getah memperolehi pendapatan yang mencukupi.

 "Dengan harga semasa sekitar RM2.70 atau lebih rendah bagi setiap kilogram getah sekerap ketika ini, pendapatan kami secara purata hanya sekitar RM600 hingga RM700 sahaja sebulan dan jumlah ini adalah di bawah paras kemiskinan kebangsaan," katanya ketika ditemui.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penoreh getah

Laham Mohd.Yassin sedang menoreh getah di kebun salah seorang penduduk kampung di Kampung Juaseh Labis, Johor.


Katanya, ramai yang tidak faham seorang penoreh getah hanya boleh menoreh sekitar 10 hingga 12 hari sahaja sebulan kerana faktor cuaca selain pokok getah tidak boleh ditoreh setiap hari, sebaliknya perlu 'direhatkan' satu atau dua hari selepas torehan sebelum boleh ditoreh semula.

Menurutnya, kebanyakan pekebun kecil di Labis sudah lanjut usia dan terpaksa mengupah orang lain untuk mengerjakan kebun mereka di mana hasil jualan kebun akan dibahagi dua antara pemilik kebun dengan pekerja.

Selepas dibahagi dua, pendapatan mereka hanya sekitar RM50 bagi sekali torehan dan selepas dikali dengan jumlah hari menoreh iaitu maksimum 12 hari sebulan, pendapatan mereka tidak lebih RM700 sebulan di mana jumlah tersebut jauh daripada mencukupi untuk menyara keluarga.


Bedrul Hisham Talib.


Bedrul Hisham Talib, 61, yang menyifatkan penoreh getah sudah terlalu lama 'mengikat perut' turut mengharap berita gembira kepada penoreh getah semasa pembentangan belanjawan tahun 2022 nanti.

Katanya, dia tidak mahu penoreh dilabel sebagai peminta sedekah yang mengharap bantuan jangka pendek berbentuk 'ikan' daripada kerajaan, sebaliknya apa yang diharapkan adalah 'joran pancing' yang bersifat penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh seperti penyediaan dana bagi menstabilkan harga getah pada paras harga lantai yang lebih munasabah iaitu melebih RM3.50 sekilogram.

Dia tidak menafikan pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan oleh kerajaan kepada penoreh getah melalui Pihak Berkuasa Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (Risda) selama ini hasil dana cukai ses pengeluaran getah yang dikenakan kepada industri getah negara seperti bantuan tanaman semula, namun apa yang lebih diharapkan pada belanjawan kali ini adalah usaha menstabilkan harga komoditi tersebut yang dilihat mampu mengeluarkan penoreh getah dari kepompong kemiskinan.


Abdullah Chandi. 


Abdullah Chandi, 80, pula menyifatkan nasib pekebun getah di sekitar Labis, khususnya di beberapa kampung sekitar Pekan Ayer Panas lebih malang berbanding rakan mereka di kawasan lain kerana penoreh getah di sini sudah lama dibelenggu masalah penyakit daun getah yang menyebabkan daun getah luruh berulang kali dalam tempoh setahun berbanding kebiasaannya hanya sekali setahun.

Katanya, setiap kali selepas daun luruh pucuk baharu akan tumbuh, di mana ketika itu hasil torehan akan merosot hingga 50 peratus berbanding keadaan biasa ketika daun getah  matang.

Lazimnya tempoh untuk pucuk getah matang semula setiap kali selepas berlaku proses daun luruh memerlukan masa kira-kira dua bulan sebelum hasil pengeluaran pulih seperti biasa.

"Bayangkan jika dalam tempoh setahun berlaku dua atau tiga kali daun luruh, maka sepanjang tahunlah penghasilan kebun kami berada pada paras yang terlalu rendah dan boleh dikatakan kami jarang merasa hasil maksima kebun kami disebabkan penyakit ini yang sudah berlarutan lebih 10 tahun.

"Saya bimbang dengan nasib penoreh getah yang semakin terhimpit kerana bukan sahaja terpaksa menghadapi nusim tengkujuh tidak lama lagi, malah kejatuhan harga getah serta penyakit daun luruh yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berwajib bagi menbela nasib kami,"katanya. - KitaReporters



Penoreh getah menjual hasil kebun mereka di salah satu pusat pengumpulan getah yang terdapat di sekitar Labis, Johor. 

5
13
0
14
0

Copy Link: