KES bunuh diri sewaktu pandemik Covid-19 dan PKP semakin membimbangkan.

Tahun lalu, dari March hingga Oktober 2020, kejadian bunuh diri akibat tekanan hidup direkodkan sebanyak 266 orang. Paling memeranjatkan 60 peratus adalah bangsa Melayu yang beragama Islam

Tahun ini pula di Pulau Pinang sahaja, 53 kes bunuh diri dari Januari hingga Mei 2021

Malah beberapa hari ini, kes terbaharu bunuh diri menjadi isu hangat dalam media sosial. Juga tersebar luas video dan gambar bunuh diri yang dikongsi oleh masyarakat dalam WhatsApp dan sosial media yang lain. 


Lagi cerita-cerita sedih berkaitan bunuh diri



Dalam Kosmo Online pada 27 Jun 2021 dilaporkan seorang pengusaha restoren berusia 57 tahun ditemukan mati dalam premis miliknya di Kijal, Trengganu. Siasatan awal mendapati si mati membunuh diri kerana tertekan akibat masalah ekonomi.  

Begitu juga berita terkini pada 27 Jun 2021, terdapat satu kejadian bunuh diri di lebuh raya SILK  berdekatan Balakong, Selangor yang dikongsi dalam media sosial dan WhatsApp.


Ustaz badli Shah Alauddin. - Kredit foto: Harian Metro


Dalam sebuah video Ustaz Badli Shah Alauddin, juga merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, dan Surau Di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memberitahu, pandemik Covid-19 memberi kesan yang besar terhadap ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan, sosial dan pelbagai aspek dalam kehidupan. 

Justeru, sekarang ini terlalu ramai orang yang hidup menderita dan dalam kesusahan. Kehidupan mereka sangat tertekan.


Kredit video: FB Umiku Zaty


Menurut Ustaz Badli Shah, pendedahan yang dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) mengenai kes bunuh diri itu sangat-sangat memeranjatkan.  

Katanya, 266 kematian akibat tindakan bunuh diri yang direkodkan sejak March hingga Oktober 2020, berpunca daripada masalah tekanan hidup sewaktu pandemik Covid-19 ini . 

Sementara itu, DPMM (Dewan Perniagaan Melayu Malaysia) pula menganggarkan lebih 53 persen atau 450,000 usahawan Melayu yang berdaftar dengan dewan telah terjejas dengan wabak ini dan mereka dikatakan tidak mampu bertahan tanpa bantuan kerajaan. 

Paling menyedihkan 70 peratus pula adalah usahawan Melayu yang mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan. 

Penderitaan dan kesukaran hidup bukan sahaja ditanggung oleh usahawan malah turut terkesan pada mereka yang bergaji kerana ada yang telah dibuang kerja. SIP atau Sistem Insurans Pekerjaan merekodkan 99,696 pekerja diberhentikan dari Januari hingga November 2020 akibat Covid-19. 

Mereka yang diberhentikan kerja ini termasuk golongan berkemahiran tinggi, profesional, juruteknik dan sebagainya. Malah ramai yang berpendidikan tinggi juga terpaksa diberhentikan. Di samping itu, lebih 10,000 yang lain dicutikan tanpa gaji. 



Begitulah senario sekarang yang sangat tenat dan terbeban oleh masyarakat. Terlalu ramai hilang mata pencarian,  dihimpit oleh hutang keliling pinggang, tidak ada duit nak menyara keluarga. 

Malah untuk meneruskan kehidupan pun mereka sudah terlalu sukar. Jadi kes bunuh diri adalah penyelesaian bagi mereka yang merasakan kehidupan sudah terlalu menekan dan tiada jalan keluar daripada seribu masalah. Bunuh dari jadi satu-satunya jalan keluar. 

Malangnya faktor pegangan agama nampaknya bukan lagi jadi benteng terakhir pada kes-kes bunuh diri ini. 


Dr. Ahmad Sauffiyan Hasan


Sementara itu Dr. Ahmad Sauffiyan Hasan, Pengasas dan Konsultan Cyber Siasat berkata, Covid-19 adalah pandemik yang telah memberi kejutan kepada sistem ekonomi, sosial dan psikologi manusia global. 

Di Malaysia, Covid-19 telah memberi tamparan kepada sektor ekonomi dan seterusnya menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. 

Memang duit bukan segala-galanya namun segalanya memerlukan duit untuk bayaran ansuran rumah, kereta, bil-bil internet, air dan elektrik untuk kelangsungan hidup. Jika hilang sumber pendapatan bagaimanakah hendak membayar semua ansuran bulanan tanpa sumber pendapatan yang sedia ada.  

Perasaan sedih kerana hilang punca pendapatan, menjurus kepada gangguan emosi dan seterusnya depresi. Dari depresi maka wujudlah rasa hilang makna kehidupan, hari berasa suram dan seterusnya wujud niat hendak membunuh diri, katanya.

Niat tidak menghalalkan cara dan niat juga tidak semestinya menjadi motivasi utama kepada tindakan membunuh diri. 



Pelbagai faktor dan punca menjurus pada kes membunuh diri. Tapi sebagai penyelidik dalam bidang media, beliau  melihat ini sebagai kesan copycat atau the Copycat Effect. 

Menurut Loren Coleman (2004) penulis buku The Copycat Effect, secara spesifiknya laporan berita mengenai kes membunuh diri boleh menjadi katalis kepada tindakan membunuh diri oleh mereka yang membacanya. Ini mungkin salah satu puncanya. 

Menurut Dr Ahmad Sauffiyan lagi, di Malaysia,  banyak rangkaian sokongan psikososial daripada pihak kerajaan dan juga pihak NGO. 

Rakyat yang terkesan boleh menghubungi nombor talian tertentu untuk mendapatkan sokongan, pandangan dan juga tempat untuk mereka meluahkan perasaan. Contohnya kita adalah Befrienders di talian 03-76272929. 

Apapun, bunuh diri bukanlah satu keputusan yang betul dan mereka yang terkesan sehingga terganggu emosinya perlulah mendapatkan bantuan dan sokongan psikologi yang diperlukan. - KitaReporters


1
1
0
0
0

Copy Link: