Kredit foto: FB ravichandraneverest


Mendaki kemuncak tertinggi dunia ternyata menggerunkan buat ramai orang namun bagi pendaki berpengalaman Ravichandran Tharumalingam, yang dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai Ravi Everest, tiada apa yang mustahil. 

Berjaya menakluk kemuncak Gunung Everest sebanyak tiga kali, Ravi menyimpan impian untuk menakluk 14 kemuncak gunung tertinggi di dunia, dengan kesemuanya memiliki altitud melebihi 8,000 meter, dalam tempoh empat tahun. 

Cabaran bermula tahun 2023 ini dengan ‘Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023’ yang bakal menyaksikan Ravi yang berusia 58 tahun ini menakluk kemuncak gunung tertinggi dan keempat tertinggi di dunia yang masing-masing berada pada altitud 8,848m dan 8,516m. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Gunung Everest


Ekspedisi berkenaan dijadualkan bermula pada April 2023 di kem induk Gunung Everest dengan persediaan selama sebulan sebelum trek pendakian sebenar selama lima hari yang akan menyaksikan pendakian berterusan Everest dan Lhotse pada Mei ini. 

“Kebanyakan pendaki menyimpan impian untuk menyempurnakan pendakian dua kemuncak ini dan saya menetapkan cabaran baharu ini untuk diri saya sendiri sebagai sebahagian daripada matlamat untuk mendaki 14 kemuncak tertinggi dalam tempoh kurang daripada empat tahun. 

"Pendakian berterusan ini akan menjadikan ekspedisi keempat saya di gunung lebih sukar berbanding pendakian saya sebelum ini tetapi ia menggambarkan moto kehidupan saya – mencabar kemuncak anda – yang menyeru kita supaya sentiasa meningkatkan prestasi supaya kita mampu mencapai yang terbaik dalam diri kita,” kata Ravi yang juga kehilangan lapan jari akibat gigitan fros daripada ekspedisi solo pertamanya di Gunung Everest namun beliau tidak mahu ketidakupayaan itu menjadi penghalang untuk meneruskan minatnya dalam pendakian. 

Ravi memegang dua rekod Malaysia Book of Records sebagai pendaki solo pertama negara untuk menakluk Gunung Everest pada 2006 dan sekali lagi pada 2022 apabila beliau menakluk K2, kemuncak kedua tertinggi di dunia. 

Dalam kedua-dua ekspedisi berkenaan, beliau memacakkan Jalur Gemilang di kemuncak dunia dan berharap mampu membawa kegemilangan kepada negara dengan memacakkan bendera Malaysia di semua 14 kemuncak dan menjadi warga Asia Tenggara pertama yang berbuat demikian. 



‘Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023’ telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, pada 21 Mac 2023 yang mana penaja utama Himalaya Sports turut menyumbangkan RM100,000 kepada Ravi sebagai sokongan kepada ekspedisi berkenaan. 

Datuk Kenny Low, pengasas dan pengarah urusan Nicko Jeep Manufacture Sdn. Bhd. yang memiliki Himalaya Sports berkata, “Himalaya Sports menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup aktif untuk kesejahteraan fizikal dan mental mereka.

"Kita dikurniakan dengan iklim yang baik dan alam semula jadi indah justeru sekiaranya kita tidak mendaki gunung, kita boleh mendaki bukit, berbasikal atau berenang. 

"Kami berharap dengan penajaan Ravi dan membantu beliau mencapai impiannya,  ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan sikap positif bahawa kita boleh melakukan sesuatu dan tabah dalam memperjuang minat masing-masing.” 

Sebanyak 14 kemuncak tertinggi dunia berkenaan terletak sepanjang pergunungan Himalaya dan Karakoram di China, Nepal, Pakistan dan India. 

Dalam susunan menurun dari segi ketinggian, ia bermula dengan Gunung Everest, Godwin Austen (K2), Kangchenjunga, Lhotse, Makalu, Cho Oyu, Dhaulagiri I, Manaslu, Nanga Parbat, Annapurna I, Gasherbrum I (K5), Broad Peak (K3), Casherbrum II (K4) dan Shishapangma. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
12
0
16
0

Copy Link: