Oleh Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid

dan Ir. Ts. Dr. Wan Mohd Faizal Wan Abd Rahim

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)


Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah diberi kepercayaan dalam melaksanakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) untuk memperkasa penyediaan tenaga kerja mahir tersedia kepada industri di Malaysia selaras dengan Hala Tuju TVET Termaju 2030 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) adalah pendekatan pendidikan yang mempertaut pembelajaran dengan keperluan industri. 

Pelaksanaan WBL memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir kepada industri dengan pelbagai cara yang memperkasa dan memenuhi keperluan sektor industri. 

Dibangunkan sebagai pendekatan baharu kepada latihan industri konvensional, program WBL melibatkan pelibatan pelajar dalam industri (sebagai sebahagian daripada program ijazah) untuk jangka masa yang panjang, memperoleh pengalaman kerja sebelum tamat pengajian. 

Ini juga membolehkan industri/syarikat berperanan aktif dalam merangka kurikulum program, mengajar, dan menilai prestasi calon pekerja.

Salah satu kelebihan utama WBL adalah menyediakan pelajar dengan pengalaman praktikal yang relevan dengan dunia pekerjaan. Melalui program ini, pelajar mendapat pendedahan yang lebih mendalam kepada tuntutan sebenar industri dan mempelajari kemahiran praktikal yang diperlukan oleh majikan.



Kerjasama yang erat antara JPPKK, institusi-institusi di bawahnya (seperti politeknik dan kolej komuniti), dan MTUN memainkan peranan yang penting dalam menyokong pelaksanaan WBL. 

JPPKK dan institusi-institusi di bawahnya menyediakan platform pembelajaran yang mengintegrasikan pengalaman praktikal dengan teori yang diajar. 

Sementara itu, MTUN memastikan bahawa program-program yang ditawarkan memberikan penekanan kepada keperluan industri dan menghasilkan graduan yang siap bekerja dan menyumbang kepada industri.

Perlaksanaan WBL juga membina jambatan antara pendidikan dan dunia pekerjaan. Dengan melibatkan pelajar dalam pengalaman pekerjaan sebenar, program ini membantu pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam konteks sebenar, meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja yang semakin mencabar. 

Keupayaan untuk belajar sambil bekerja dalam persekitaran sebenar industri memperkukuh kemahiran interpersonal dan profesional pelajar. Mereka belajar bekerja secara berpasukan, menyelesaikan masalah dalam konteks sebenar, dan mengasah kemahiran komunikasi serta kepemimpinan yang diperlukan untuk kejayaan dalam kerjaya mereka. 

Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam perlaksanaan WBL. 

Antara halangan yang dihadapi termasuk kesesuaian kurikulum dengan keperluan semasa industri, kesediaan industri untuk menerima pelajar sebagai sebahagian daripada pengalaman pekerjaan mereka, dan penstrukturan program yang sesuai bagi memastikan pelajar mendapat manfaat maksimum daripada pengalaman WBL. 

Polisi perlaksanaan WBL melibatkan penglibatan pihak industri secara bersepadu menerusi insentif-insentif seperti “potongan cukai berganda” juga perlu dibangunkan bagi memastikan agenda pembelajaran berteraskan industri yang mampan dapat dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, melalui pelaksanaan yang cermat dan bersepadu, program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) membawa peluang yang besar dalam menyediakan tenaga kerja yang mahir dan tersedia industri. 

Ia memperkasa pelajar dengan pengetahuan, kemahiran praktikal, dan pengalaman yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia pekerjaan yang dinamik dan berubah-ubah.


Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), manakala Ir. Ts. Dr. Wan Mohd Faizal Wan Abd Rahim ialah Ketua Bahagian Pengurusan Dasar TVET UniMAP. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis-penulis.



9
13
0
16
0

Copy Link: