Restoran Ngulang Kopitiam di Kangar, Perlis


PENDUDUK Perlis mungkin sudah kenal dengan Ngulang Kopitiam yang terletak di Jalan Jejawi - Tok Kayaman, Kangar, Perlis

Dibuka pada Februari 2022 lalu, Ngulang Kopitiam tercetus daripada impian pemiliknya Sharifah Faezah Al-Qadry, 66, sejak lama dahulu. 

Bermula dengan impian, Sharifah Faezah akhirnya berjaya merealisasikan impiannya itu menjadi kenyataan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kedai-kedai makan

Sharifah Faezah Al-Qadry, pemilik Ngulang Kopitiam 


"Pada peringkat awal, suami dan anak-anak tidak bersetuju dengan niat saya untuk membuka perniagaan ini. Mereka mahu saya berehat selepas bersara. 

"Bagaimanapun selepas PKP dan 2 tahun tidak ke mana-mana saya nekad memulakan perniagaan kopitiam ini Februari (2022) lalu setelah suami dan anak-anak mengalah dengan keputusan saya," kata Sharifah tersenyum. 

Mengenai konsep era 60-an dan dekorasi klasik yang digunakan di kopitiam miliknya, kata Sharifah, memamg itulah cita-citanya yang telah lama terpendam


Dekorasi klasik yang menarik di Ngulang Kopitiam menambat hati pengunjung.


"Sejak kecil saya saya berminat dengan barang-barang antik. Setelah berkahwin saya mula serius menyimpan pinggan mangkuk, barangan dapur, perabot dan peralatan lama

"Apabila kopitiam ini siap saya jadikan produk dan koleksi saya ini sebagai dekorasi di dalam kopitiam ini," tambah isteri kepada Hamzan Darus ini. 

Antara koleksi yang ada di kopitiam ini ialah siya Baba Nyonya Melaka, mesin jahit, lemari lama, dulang, mangkuk tingkat (siya), mesin taip, senduk, dan lain lain lagi. 

Berada di dalamnya seperti berada dalam kedai makan tahun 60-an. Tenang dan selesa


Suasana dalam Ngulang Kopitiam seperti pada era 60-an


Kopitiam ini juga ada sejarah tersendiri. Ia asalnya sebuah rumah lama yang dibeli oleh Sharifah. Dibina semula dengan kos keseluruhan melebihi RM100 ribu. 

Tidak hairan ramai pelanggan yang berkunjung memuji keunikannya di samping menu yang enak hasil air tangan pemiliknya sendiri dengan tenaga kerja seramai 17 orang. 

"Setiap hari saya ke pasar jam 5 pagi untuk membeli barang basah. Selesai subuh saya mula memasak. Setakat ini ada 20 menu di Ngulang Kopitiam. 

"Laksa nyonya adalah menu utama di samping lontong, masak asam pedas, kari, daging salai masak lemak cili api dan banyak lagi. Roti bakar mendapat permintaan tinggi pelanggan yang datang. 

"Berbekalkan tagline, Menu Keluarga Malaysia, Ngulang Kopitiam bukan sahaja mendapat perhatian pelancong tempatan tetapi juga dari Brunei dan Singapura. Malah Ngulang Kopitiam juga menerima tetamu daripada golongan kenamaan dan kerabat," jelas Sharifah lagi. 



Melihat perkembangan Ngulang Kopitiam setakat ini Sharifah bersyukur kerana semuanya berjalan lancar seperti diharapkan terutama setelah ia di viralkan. 

"Saya bersyukur dengan rezeki yang Allah bagi untuk saya dan keluarga. Banyak kekurangan yang perlu dibaik tambah dari semasa ke semasa. 

"Apapun terima kasih saya ucapkan  kepada mereka yang menyokong Ngulang Kopitiam." sambung Sharifah yang sekarang mendapat sokongan padu daripada suami, Hamzan Darus dan anak-anak. 

Dibuka dari jam 8 pagi hingga 3 petang setiap hari, Ngulang Kopitiam menjadi tempat makan pilihan mereka yang bukan sahaja gemarkan menu yang pelbagai tetapi juga peminat barang-barang antik

Jika berkunjung ke Perlis, jangan lupa singgah di Ngulang Kopitiam, makan sekali pasti akan datang lagi! - KitaReporters


Koleksi antik Sharifah sejak berkahwin dijadikan hiasan di kopitiam miliknya.

12
14
0
8
1

Copy Link: