Seramai 50 orang pengusaha rumah inap atau inap desa (homestay) daripada 25 kluster di Johor yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) berkampung selama tiga hari di Cabin Hill resort, Labis, Johor mengikuti Kursus Pengukuhan Organisasi Dan Program Pengalaman Homestay Malaysia Negeri Johor pada 18 hingga 20 Oktober 2022 lalu.

Pengarah Motac Negeri Johor, Magdlane Tuborng Melai mengesa pengusaha inap desa di negeri ini merebut setiap peluang yang ada berikutan terdapat pemulihan sektor pelancongan ketika ini selepas mengalami impak teruk selama hampir dua tahun sepanjang tempoh negara dilanda pendemik Covid-19 sebelum ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan rumah inap atau homestay

Sebahagian peserta Kursus Pengukuhan Organisasi Dan Program Pengalaman Homestay Malaysia Negeri johor selama tiga hari di Cabin Hill Resort, Labis, Johor pada 18 hingga 20 Oktober 2022.


"Di negeri terdapat lebih 450 pengusaha inap desa di bawah 25 kluster yang berdaftar dengan Motac di mana kebanyakannya diusahakan secara sambilan, namun usaha tersebut mampu memberi pulangan yang lumayan dan berbaloi dengan apa yang mereka lakukan.

"Walaupun negara masih dalam tempoh endemik Covid-19 ketika ini di mana sektor pelancongan belum pulih sepenuhnya seperti sedia kala, tetapi pengusaha inap desa di negeri ini telah berjaya mencatatkan pendapatan keseluruhan lebih RM800,000 sepanjang tempoh lapan bulan bermula Januari sehingga Ogos 2022 ini," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian kursus tersebut di Cabin Hill Labis Eco Resort, Labis, Johor 18 Oktober 2022 lalu.       


Magdlane Tuborng Melai

Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar pengusaha inap desa terlibat agar lebih kreatif dalam usaha mempromosi keistimewaan yang terdapat di kawasan masing-masing termasuk menggunakan pelbagai kemudahan secara maya bagi tujuan menarik minat bukan sahaja pelancong luar, tetapi pelancong tempatan untuk berkunjung ke kawasan mereka.

Menurutnya, kursus tersebut juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh peserta untuk 'refresh' semula segala usaha mereka untuk menonjolkan keistimewaan serta kekuatan inap desa kawasan masing-masing selepas banyak aktiviti serta perancangan untuk menawarkan pakej dan perkhidmatan terbaik sebelum ini terbantut disebabkan Covid-19.


Peserta kursus yang juga pengusaha inap desa di negeri Johor ketika melawat bengkel gasing jentik di Felda Tenang, Labis, Johor.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program, Hamdan Ibrahim yang juga Pengerusi Homestay Koperasi Smilian Falten berkata, antara pengisian kursus selama tiga hari tersebut adalah sesi ceramah dengan kerjasama beberapa agensi seperti Universiti Tun Hussien Onn Malaysian (UTHM) , Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Telekom Malaysia (TM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Perkeso. 

Menurutnya, melalui lima slot ceramah yang diadakan peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan menerusi tajuk-tajuk seperti Kepimpinan dan Organisasi Ke arah Kelestarian Program Pengalaman Homestay serta Adakah Kita Faham Apa Itu CBT oleh UTHM, Penubuhan Koperasi di Homestay dan Program Desa Lestari oleh KPLB, Pembangunan Pakej oleh TM Malaysia, serta Perkeso Bagi Pekerja Sendiri oleh Perkeso. 


Perusahaan kraf kayu yang terdapat di Felda Tenang antara yang menarik perhatian peserta kursus.

Peserta kursus tersebut tertarik melihat kehalusan barangan kulit yang dibuat oleh salah seorang pengusaha kraf kulit di FeldaTenang, Labis, Johor.

Selain siri ceramah, peserta juga dibawa untuk melawat beberapa perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang dijalankan oleh ahli Koperasi Smilian Falten seperti pembuatan gasing jentik, barangan kulit, perusahaan pelbagai makanan dan kraftangan yang kebanyakannya beroperasi di Felda Tenang, Labis, Johor bagi membolehkan peserta kursus menimba pengalaman baharu serta bertukar pandangan dalam usaha mencambahkan idea untuk mempelbagaikan daya tarikan pelancong di kawasan mereka.

"Saya harap peserta yang mengikuti kursus ini dapat berkongsi ilmu serta pengalaman yang diperolehi di sini dengan rakan pengusaha lain yang tidak berpeluang untuk turut serta apabila pulang di kawasan masing-masing nanti bagi memastikan usaha mereka mampu berkembang maju seperti mana diharapkan.

"Dalam masa sama saya juga berharap agar kursus seumpama  ini bukan merupakan kali pertama dan terakhir, malah akan ada siri kursus seterusnya nanti pada masa akan datang di kawasan lain pula yang mungkin berminat untuk menganjurkan bukan sahaja kursus, sebaliknya program lain yang mampu memberi manfaat kepada pengusaha inap desa di Johor secara keseluruhannya," katanya. - KitaReporters


Perusahaan anyaman rotan yang diusahakan oleh golongan wanita merupakan antara daya tarikan yang terdapat di Inap Desa Koperasi Similan Falten, Labis, Johor.


Peserta mencuba permainan gasing yang merupakan antara keunikan yang terdapat di inap desa Koperasi Similian Falten.

13
11
0
9
0

Copy Link: