HARI AIDS Sedunia diraikan pada 1 Disember setiap tahun di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran kesihatan awam mengenai jangkitan HIV/AIDS dan langkah-langkah keselamatan, pencegahan serta rawatan. AIDS adalah singkatan kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome atau Sindrom Kurang Daya Tahan iaitu sejenis penyakit yang serius, manakala HIV adalah Human Immunodeficiency Virus atau Virus Kurang Daya Tahan Sakit iaitu virus yang menjadi punca penyakit AIDS. : KitaReporters



Adham Baba berucap ketika merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia 2020  peringkat kebangsaan secara virtual di ibu negara. - Sumber:  FB Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)


Lagi laporan-laporan berkaitan HIV/AIDS:

https://kitareporters.com/search?search=hiv


Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Adham Baba hari ini berbesar hati diberi kesempatan berucap secara virtual (melalui  FB) di ibu negara sempena sambutan Hari AIDS Sedunia 2020 peringkat kebangsaan bagi kali 34 tahun. 

Sejak tahun 1985, kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan menjalankan pelbagai aktiviti kempen kesedaran, kawalan, pencegahan, rawatan dan penjagaan AIDS. 

Sejajar dengan tema pada tahun ini iaitu “Solidariti Sejagat Tanggungjawab Bersama” beliau menyeru masyarakat  dan orang ramai termasuk agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta, korporat dan sebagainya berganding bahu dalam usaha mencegah jangkitan HIV/AIDS.





Lebih tiga dekad negara mengembleng usaha dalam mengawal jangkitan HIV/AIDS dan banyak kejayaan telah dilakarkan. 

Sejarah awal pesakit AIDS di Malaysia bermula pada tahun 1986 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes pertama jangkitan HIV berlaku di negara ini. Dalam tempoh empat tahun selepas itu (1990) kes HIV terus meningkat secara mendadak.

Malaysia pernah mencatat angka tertinggi bilangan kes jangkitan HIV pada tahun 2002 iaitu sebanyak 6,978 kes dan kemudian berlaku penurunan kes sebanyak 50 peratus pada akhir 2019.

KKM juga berjaya mengekalkan kes jangkitan HIV vertikal daripada ibu kepada anak di bawah 2 peratus. 



Pelaksanaan program "Pengurangan Mudarat" (harm reduction) yang dilaksanakan oleh KKM bersama pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk Majlis AIDS Malaysia telah banyak membantu mengurangkan jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah yang dahulu pernah menjadi penyumbang utama wabak AIDS.

Kumpulan jangkitan HIV baharu yang menyuntik dadah (berkongsi jarum) dalam kalangan mereka ini, telah menurun daripada 74.2 peratus atau 5,176 kes pada tahun 2002 kepada 4.6 peratus iaitu 164 kes pada 2019.

Pemberian ubat Antiretroviral (ARV) kepada mereka yang menghidap HIV telah dipertingkatkan sebanyak 28 peratus pada 2015 kepada 57 peratus pada 2019.

Walau bagaimanapun sasaran ini masih dianggap rendah berbanding 90 peratus yang ditetapkan oleh KKM.

Pada ketika musim Covid-19 sedang melanda negara, Dr. Adham turut mengingatkan pesakit-pesakit HIV/AIDS agar mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, kebersihan diri dan lain-lain yang telah ditetapkan oleh KKM agar mereka tidak mudah terkena jangkitan virus Korona yang boleh membawa maut. 

 Walaupun tiada rawatan yang boleh menghapuskan virus ini secara keseluruhan, namun HIV boleh dicegah atau diberi rawatan awal sebelum berlakunya AIDS. Jadi, pengesanan awal adalah amat penting. 

Justeru itu, kerajaan akan sentiasa terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen tinggi dalam menangani HIV/AIDS khususnya dalam merealisasikan agenda negara untuk mengakhiri AIDS pada tahun 2030- KitaReporters


Sumber: 

https://temanteman.org/mycontent.php?id=26

https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/10156535529296237

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/77-pesakit-hivaids-malaysia-berumur-antara-2040-tahun-kebanyakannya-seks-tidak-selamat-224211

3
0
0
0
0

Copy Link: