PERAHU kajang? Pernah dengar atau tidak? Mungkin ada dalam kalangan generasi muda hari ini yang tidak pernah tahu atau ambil pusing mengenai kewujudan alat pengangkutan penting suatu ketika dahulu. Dengan arus pembangunan dan pemodenan yang bertambah rancak tidak mustahil perahu kajang ini boleh pupus terus dari muka bumi ini suatu hari nanti. : KitaReporters


Kredit foto-foto: Amir Hamzah Nordin


Lagi cerita-cerita berkaitan Taman Negara:

https://kitareporters.com/search?search=taman+negara


Sedih rasanya bila perahu kajang yang dihasilkan daripada keringat penduduk kampung yang memiliki seni kemahiran membuat bot itu kini sudah semakin dilupakan. 

Maka, usah hairan kalau generasi muda hari ini tidak mengenali perahu kajang!

Perahu kajang sangat diperlukan satu ketika dahulu sebagai pengangkatan air kerana ketiadaan jalan raya


Perahu atau bot kajang yang suatu ketika dahulu biasanya digunakan sebagai 'pengangkutan awam' di air dari Kuala Tembeling ke kawasan pesisir Sungai Tembeling, Kuala Tahan sehingga ke Ulu Tembeling untuk membawa penumpang dan barangan sudah mulai dilupakan. 

Sejak jalan raya dari bandar Jerantut ke Kuala Tahan siap sepenuhnya pada tahun 2000, laluan sungai sudah kurang digunakan untuk membawa pelancong, orang ramai dan barangan, sekali gus menjejaskan pembuatan perahu kajang. 

Sudah ada gading bertuah tanduk tidak berguna lagi! 


Japran Ali


Salah seorang pembuat perahu kajang di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Japran Ali, 63, berkata sejak jalan raya siap dibina, dia tidak lagi membuat perahu kerana tiada lagi permintaan terhadap 'bas sungai' itu sejak beberapa tahun lalu.

"Saya dan beberapa tukang di kawasan Ulu Tembeling tidak membuat perahu sejak 2013 lagi.

"Ramai memilih menggunakan khidmat bot gentian kaca atau fibre berbanding perahu biasa malah bot kayu yang masih adapun disalut dengan gentian kaca untuk memanjang usia bot tersebut.

“Ketika jalan darat belum ada, saya boleh membuat hampir 20 buah perahu kajang dengan harga kira-kira RM4,500 sebuah dalam tempoh setahun. 

"Bagaimanapun, keadaan sudah berubah, perahu kajang sudah kehilangan 'penumpang setia' dan saya pula terpaksa melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan," katanya.


Antara perahu kajang bersaiz lapan hingga sembilan meter


Japran berkata, pembinaan jalan raya itu tidak seharusnya dijadikan alasan menafikan kehadiran perahu kajang yang pernah menjadi pengangkutan tradisional suatu ketika dahulu.

Bukan senang nak jumpa perahu kajang kalau tidak ke Kuala Tahan.

"Generasi muda hari ini mungkin tidak mengenali apa tu perahu kajang dan kita sebagai orang lama seharusnya menurunkan seni kemahiran membuat perahu pada anak cucu.

“Rugi… generasi muda tidak tahu membina perahu kayu tradisonal, kalau boleh satu badan atau agensi kerajaan mengadakan latihan kemahiran membina perahu di mana-mana pusat latihan kemahiran,” katanya.

Selain itu, katanya, pemain industri berkaitan sektor pelancongan, khususnya di Kuala Tahan, boleh memikirkan kaedah yang sesuai untuk mempromosikan pembuatan perahu tradisional ini, sekali gus mengekalkan warisan nenek moyang ini kepada generasi akan datang.


Kayu juga memainkan peranan dalam membuat perahu kajang


Japran berkata, pembinaan perahu kajang mengambil masa tiga minggu untuk siap sepenuhnya dengan menggunakan dua  tenaga kerja.

“Bermula dengan mencari kayu dan mengetam kayu atau papan, membina dan seterusnya menggunakan gam damar untuk melekatkan antara jaluran papan bagi menggelakkan air masuk.

“Jenis kayu juga memainkan peranan dalam membina perahu yang tahan lasak seperti kayu meranti perawan, besul, cengal dan merbau. Lebih 'tua' usia kayu, lagi bagus untuk membuat perahu kerana daya tahannya yang lebih lama daripada kayu muda,” katanya. 

Katanya, kayu merbau atau nama saintifiknya Intsia Pelembanica merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia dan negara-negara ASEAN.

“Kayu merbau ini, tahan lasak, keras dan berkualiti tinggi dan mampu menangani kelembapan dan tidak mudah lapuk serta boleh dijadikan sebagai perahu.

“Kayu ini termasuk dalam golongan kayu berat pada kadar air 15 peratus dan mempunyai penyusutan yang sangat rendah sehinggakan ia tidak akan cacat apabila dikeringkan,” katanya. - KitaReporters


Perahu kajang menjadi 'bas sungai' yang penting satu ketika dulu bagi menghubungkan satu tempat dengan tempat-tempat yang lain.

3
0
0
0
0

Copy Link: