RAJA Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ​telah merasmikan Pusat Alpha IVF & Women’s Specialists (KL), salah satu pusat rawatan kesuburan Persenyawaan In Vitro (In Vitro Fertilisation, IVF) yang terbesar di rantau ini pada Jumaat (8/11/2019) yang lalu. : KitaReporters.com

Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj (depan, kanan) menerima mock tajaan rawatan IVF kepada TAFF daripada Dr. Colin Lee.


Dalam satu kenyataan media, Alpha IVF menyebut, dengan kadar kejayaan dan kepakaran bertaraf dunia, syarikat itu kini mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dengan pembukaan pusat kesuburan yang terbaharu di Kota Damansara (Alpha IVF-KL) itu.

Sejak sekian lama, Raja Permaisuri Agong telah menyokong pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan melalui Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF)​. 

Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan bertitah pada pelancaran Pusat Alpha IVF & Women’s Specialists. 


Sempena pembukaan pusat rawatan baharu tersebut, Alpha IVF-KL akan menaja 15 (lima belas) rawatan IVF sebagai tanda sokongan kepada TAFF. 

Hadiah penajaan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong oleh​ Dato’ Dr. Colin Lee, Pengasas dan Pengarah Urusan Alpha IVF‒KL bersama beberapa kanak-kanak yang dilahirkan hasil rawatan melalui usaha sama antara Alpha IVF‒KL dengan TAFF. 

Penyanyi terkenal Malaysia, Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin, turut menghadiri majlis pelancaran tersebut. Beliau memberikan penghormatan kepada Raja Permaisuri Agong dengan menyanyikan lagu popularnya, Comel Pipi Merah yang ditulis untuk meraikan kelahiran bayinya. 

Persembahan khas oleh staf Alpha IVF’s bersama Siti Nurhaliza Tarudin (tengah, kanan) untuk Tunku Azizah.


Dengan ruang seluas 30,000 kaki persegi, Alpha IVF - KL dibina untuk menjadi hab sehenti bagi rawatan kesuburan yang menyediakan antara rawatan-rawatan kesuburan yang paling komprehensif dan pelbagai di seluruh dunia. 

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi perubatan yang canggih, termasuk 4 unit EmbryoScope+ iaitu kemudahan pengawasan embrio selang masa, dan sistem Cryotec®​ Cryopreservation yang telah mencapai kadar ketahanan hidup sebanyak 100% dengan konsisten untuk embrio dan blastosista semasa proses beku cair. 

Sejak penubuhannya pada 2011, teknologi canggih Alpha IVF-KL yang digabungkan dengan rawatan IVF yang inovatif telah diiktiraf dengan Kadar Kehamilan Klinikal IVF sebanyak 82.9%. 

Ini setanding dengan pusat-pusat rawatan IVF yang terbaik di dunia, mengukuhkan lagi kedudukan Alpha IVF-KL sebagai peneraju dalam bidang ini. 

Alpha IVF-KL juga baru-baru ini telah dianugerahkan sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesuburan yang Terbaik di Asia Pasifik 2019 oleh Global Health and Travel serta sebagai Pusat Rawatan Kesuburan Terbaik di Malaysia untuk Amalan Terbaik pada 2018 oleh Frost and Sullivan.

“Kami melayan setiap pasangan dengan misi untuk membantu mereka mencapai potensi penuh untuk menjadi ibu bapa. 

"Dengan tahap kepakaran yang tinggi dan teknologi yang inovatif, kami dapat menawarkan pelbagai penyelesaian yang optimum kepada pasangan-pasangan untuk keperluan kesuburan mereka dan menjadi rakan yang berdedikasi untuk menjayakan perjalanan kesuburan mereka,” kata Dr Lee dalam kenyataan media itu.

Tunku Azizah (tengah) bergambar selepas majlis memotong riben pada pelancaran Pusat Alpha IVF & Women’s Specialists.


Alpha IVF-KL diuruskan oleh 5 pakar kesuburan dan 19 pakar embriologi, genetik, andrologi dan saintis yang telah menghasilkan lebih daripada 150 hasil kerja saintifik berkaitan rawatan kesuburan, dan telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang pertama seumpamanya di dunia dalam bidang IVF termasuklah: 


  • Program Saudara Kandung Penyelamat Pertama di Dunia untuk penyakit monogenik dengan taipan HLA resolusi tinggi pada embrio dari sampel biopsi sama yang digunakan untuk ujian PGT. 

  • Yang pertama di dunia untuk membuktikan bahawa blastosit dari Hari 1 – oosit MII mempunyai kadar euploidy yang sama seperti Hari 0 – oosit MII dari kitaran yang sama dan oleh itu, tidak seharusnya dibuang. Ini akan meningkatkan jumlah blastosit euploid yang ada untuk pemindahan embrio. 

  • Kehamilan dan kelahiran pertama di dunia yang berjaya untuk wanita yang dilahirkan tanpa faraj (Mullerian Dysgenesis).


Inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab rawatan kesuburan di Asia menjelang 2020, dan kadar kejayaan Alpha IVF-KL yang tinggi akan membantu menjadikan Malaysia sebuah destinasi utama untuk rawatan kesuburan. 

“Dengan kadar kejayaan kehamilan yang setanding dengan pusat-pusat rawatan lain yang terbaik di dunia, kami berhasrat untuk memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan lebih banyak peluang untuk pasangan-pasangan yang sudah berkahwin mengecap nikmat menjadi ibu bapa,” tambah Dr Lee. - KitaReporters.com

 

25
0
0
0
0

Copy Link: