Ahli NGO PJMM dan PJNH (dari kanan), Ismail khamis, Alias, Mohiadin dan Azman bersama-sama wakil masjid yang menerima infak al-Quran.


LEBIH 500 naskhah al-Quran sumbangan pelbagai pihak termasuk orang ramai diinfak kepada masjid, surau, kelas mengaji dan penduduk yang menjadi banjir di Kampung Kuala Menjing dan Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 27 Februari 2022 lalu.

Infak al-Quran itu dikelolakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) Beranang dan Sahabat Kelas al-Quran, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor yang disempurnakan agihannya di rumah aktivis masyarakat di Kampung Sekayu, pada 21 Mac 2022.

Jurucakap NGO terbabit, Alias Ahmad, berkata sebaik sahaja diviralkan dalam media sosial mengenai misi infak al-Quran untuk mangsa banjir di kampung berkenaan dua pusat berkenaan terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya yang menginfak 300 naskhah al-Quran.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan al-Quran

Guru kelas mengaji, Ustazah Bedah Ahmad (dua dari kiri) menerima infak al-Quran.


Menurutnya, dalam tempoh seminggu pusat jagaan berkenaan berjaya mengumpul infak al-Quran 500 naskhah dan dapat diagihkan kepada kira-kira enam masjid, surau, dua kelas mengaji serta penduduk kampung yang rumah mereka digenangi banjir.

“Ada sesetengah indvidu pula menyumbangkan wang untuk diinfakkan kepada pusat tahfiz, masjid dan surau sebagai membantu kos perbelanjaan dalam kerja pembersihan dan pemulihan kemudahan asas yang mungkin rosak akibat banjir.

“Kami berharap infak al-Quran ini dapat menyemarakkan semula majlis tadarus dalam bulan Ramadan yang mungkin dibenarkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19,” katanya dalam ucapan ringkas pada majlis agihan infak al-Quran itu.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; aktivis masyarakat, Abdul Razab Ismail; wakil masjid serta penduduk kampung.

Alias turut memaklumkan pusat tahfiz di Temerloh dan Negeri Sembilan turut menerima infak al-Quran berkenaan.


Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Kuala Menjing bersama-sama ahli NGO PJMM dan PJNH selepas majlis infak al-Quran.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang juga Pengerusi Masjid Kampung Padang Setar, Mustapha Che Muda, melahirkan rasa terharu kerana masih ada NGO yang sanggup berkorban tenaga dan masa mengumpulkan infak al-Quran untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, apabila dimaklumkan oleh Abdul Razab untuk menghadirkan diri dia terpaksa mengutamakan majlis itu daripada tugasan lain sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ahli NGO terbabit yang gigih berusaha mengumpul al-Quran.

“Bagi kami tinggal di pedalaman amat menyanjung tinggi usaha ini kerana secara tidak langsung membantu menghidupkan program bertadarus  pada malam Ramadan selain dapat menggantikan al-Quran lama yang rosak digenangi banjir,” katanya.


Ahli NGO PJMM dan PJNH bersama-sama sebahagian wakil masjid, surau, kelas mengaji dan penduduk yang hadir pada majlis agihan infak al-Quran di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 21 Mac 2022. 



Mudir Madrasatul Quran Sahabat, Kampung Bukit Biah, Mohd Mahdi Mamat, berkata sumbangan wang yang diterima itu akan digunakan dalam pembelanjaan membaik pulih madrasah itu kerana bahagian bawah digenangi banjir lebih dua meter.

Menurutnya, pada awal pagi 27 Februari 2022 itu, air sungai melempah dengan begitu cepat dan semua 45 pelajar terpaksa bergegas ke tingkat satu bagi menyelamatkan diri serta mengangkat beberapa barangan yang sempat dibawa bersama. 

Jelasnya, dalam beberapa jam selepas itu air banjir mulai surut perlahan-lahan bagaimanapun bahagian bawah masih digenangi air yang bertakung sedalam kira-kira 0.5 meter dan pada keesokan harinya sekeliling madrasah itu dipenuhi lumpur.

“Alhamdulillah dengan bantuan pelbagai NGO kerja pembersihan lumpur dan sebagainya dapat dilakukan dan usaha memulihkan masih diteruskan dengan kerjasama pelajar bagi memastikan pengajian mereka tidak terganggu,” katanya. - KitaReporters


Azman (tiga dari kiri) menyerahkan sumbang wang infak kepada Mohd Mahdi.


Mohd Mahdi (kanan) menunjukkan paras air banjir pada dinding madrasah itu dalam kejadian banjir pada 27 Februari 2022.

50
12
0
12
0

Copy Link: