HANYA kerana cintanya ditolak oleh wanita yang diminati, seorang lelaki tergamak melakukan perbuatan kejam bagi memuaskan hati sendiri selain membalas dendam dengan menikam mangsa yang juga rakan sekerja sehingga mati.

Dalam kejadian berdarah yang berlaku 21 September 2022 lalu, suspek berusia 57 tahun dan bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah agensi di bandar Bangkok dikatakan terlalu kecewa selepas Anitta Yoosothana, menolak lamarannya.

Geram  dengan situasi yang dilalui,  Sing Jabairam nekad menikam beberapa kali pada bahagian muka dan dada wanita malang berkenaan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan rasa cinta



Memetik portal Thaiger.com, suspek yang pernah menjadi sami di sebuah tokong  di wilayah Buriram Thailand  itu melakukan perbuatan kejam dan menyakitkan itu di hadapan Universiti Teknologi Rajamangala Krungthep di Bangkok.

Namun kecekapan polis Thailand yang bekerjasama dengan polis wilayah Buriram akhirnya membuahkan hasil dan berjaya menahan lelaki durjana yang dikenali Sing Jabairam, yang tergamak melakukan perbuatan kejam ke atas wanita muda yang berusia 30 tahun itu.

Rakan sekerjanya memberitahu suspek menyimpan hati terhadap wanita berkenaan namun terlalu kecewa selepas cintanya ditolak dengan baik lalu nekad melakukan perbuatan kejam tersebut.



Sementara itu ahli keluarga suspek yang dikenali sebagai Panupong Jarumas, memberitahu dia sudah lama tidak berjumpa dengan Sing selepas meninggalkan kampung halamannya sejak setahun lalu.

Namun mengakui tidak terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan kerana sebelum ini pernah terlibat dengan perbuatan salah laku melibatkan wanita.

Cerita Panupong lagi, Sing sebelum ini pernah menjadi sami dan pernah tinggal di sebuah tokong di wilayah Buriram beberapa tahun lalu. Namun dia dihalau keluar kerana berdepan masalah disiplin selain dia didapati melakukan perkara terlarang.

Kini pasukan giat menyiasat kes dan sekiranya mendapati bersalah, Sing bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 15 hingga 20 tahun.

Alahai ditolak cinta, tak pasal-pasal terpaksa habiskan sisa hidup dalam penjara. - KitaReporters


  

9
12
0
16
0

Copy Link: