Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada asnaf sambil diperhatikan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan)


WALAUPUN usia penubuhannya masih setahun jagung, namun khidmat bakti kepada masyarakat terutama membantu penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah terbukti dengan kemampuannya melaksanakan tanggungjawab sosial. 

Pertubuhan Kebajikan Al-Faiqah Terengganu tidak mahu ketinggalan dalam usaha membantu kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada komuniti terutama golongan asnaf dan pelajar miskin.

Presidennya, Ghazali Che Noh berkata, pertubuhan itu yang didaftarkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada 4 November 2020 di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) kini bergerak aktif dalam aktiviti sosial, pendidikan dan motivasi.


Lagi kisan-kisah menarik berkaitan bakul makanan:

https://kitareporters.com/search?search=bakul+makanan



Ghazali Che Noh


Terbaharu, pertubuhan itu dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) mengagihkan program Bakul Makanan kepada golongan asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu.

Menerusi program yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, pihaknya mengagihkan 50 bakul makanan kepada peserta terpilih pada Jumaat 6 Mac 2021. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Ghazali berkata, Al-Faiqah yang dianggotai 10 ahli Jawatankuasa ialah sebuah pertubuhan yang memberi fokus kepada bidang perkhidmatan pengagihan bantuan kepada golongan miskin, kelas motivasi pelajar, pengajar kelas tuisyen dan menyediakan bantuan pakaian dan kelengkapan sekolah kepada pelajar.


Datuk Dr Zulkifli menyampaikan sumbangan wang bantuan COVID-19 kepada seorang asnaf


“Sejak ditubuhkan, pihaknya sudah banyak menganjurkan aktiviti kemasyarakatan di seluruh negeri Terengganu,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sumbangan pakaian kepada penduduk, bakul makanan, motivasi NLP khas kepada pelajar target SPM, Online Coach Usahawan terkesan COVID-19 dan sumbangan wang tunai untuk program ihya Ramadan.

Selain itu, katanya, pertubuhan itu juga turut membiayai bayaran bil elektrik bagi pengurusan surau yang tidak mempunyai kewangan kukuh.

“Menerusi slogan Bantu Selagi Mampu pertubuhan itu akan terus program turun padang untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan,” katanya. - KitaReporters


Penerima sumbangan dari Pertubuhan Al-Faiqah bergambar kenangan selepas menerima bantuan bakul makanan

0
1
1
0
0

Copy Link: