Filem pendek Raya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2024 berjudul “Pesan Ibu” menampilkan aktres terkemuka Fauziah Ahmad Daud atau lebih popular dengan nama Ogy, yang menggalas watak “Mak” dalam filem pendek tersebut.

Filem ini telah berjaya menarik lebih 130,000 tontonan dalam saluran Youtube USIMTV setakat ini sejak ia disiarkan pada 1 April 2024 yang lalu. 

Filem pendek arahan Profesor Madya Dr. Faizal Kasmani, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM ini mengisahkan tentang Aiman, seorang pelajar sekolah agama yang bercita-cita untuk memasuki university dalam bidang kedoktoran. 

Aiman pada masa yang sama perlu menggalas tugas menjaga ibunya, seorang penoreh getah dan adiknya, setelah kematian bapanya. Muhammad Fikri Hairulazmy, Pelajar Fakulti Sains Teknologi USIM memegang watak utama sebagai “Aiman”.



Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, beliau teruja dengan pemilihan Fauziah Ahmad Daud sebagai pelakon utama Filem Pendek Raya USIM pada tahun ini (2024).

“Pemilihan watak Kak Ogy sebagai ‘Mak’ adalah tepat kerana kredibiliti beliau sebagai pelakon legenda yang membawa apa jua watak dapat memberi kesan mendalam kepada penonton. 

"Gandingan Muhammad Fikri Hairulazmy yang membawa watak ‘Aiman’ juga membuktikan pelajar USIM mempunyai bakat terpendam yang boleh diketengahkan," katanya.



Produksi filem pendek “Pesan Ibu” dihasilkan sepenuhnya oleh Pusat Komunikasi Strategik USIM bersama alumni USIM dan bantuan nasihat kepakaran daripada pengarah Profesor Dr. Mahadi J. Murat selaku Penasihat Produksi.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kejayaan produksi filem pendek yang digalas sepenuhnya oleh Pusat Komunikasi Strategik bersama kepakaran pensyarah dan pelajar program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Fakulti Sains dan Teknologi membuktikan kecairan bakat yang dimanfaatkan sepenuhnya.

“Talent Fluidity yang dimaksudkan untuk semua warga USIM merangkumi pelbagai aspek ini boleh dilihat dalam penghasilan filem pendek ‘Pesan Ibu’. 

"Saudara Fikri sendiri adalah seorang pelajar tahun 3 Fakulti Sains Teknologi dari program Keselamatan dan Jaminan Maklumat namun mampu menjiwai watak ‘Aiman’ dengan baik sekali,” tambahnya lagi.



Filem ini turut mendapat tajaan daripada Pusat Pengajian Al Baghdadi serta kerjasama daripada Has Production dan Canon.

Filem pendek berjudul “Pesan Ibu” boleh ditonton dalam YouTube dan platform-platform lain media sosial rasmi USIM. - KitaReporters/USIM


15
18
0
13
0

Copy Link: