KOMITMEN yang teguh untuk membuka pusat jagaan bagi membela nasib warga emas tanpa waris, disisih keluarga dan terbiar menjadi gelandangan mendorong Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (PEWARIS) beroperasi sementara di Kampung Lahar, Mukim Malau di Jitra, Kedah bermula 15 Julai 2023 lalu.

Bagi tujuan itu PEWARIS menyewa sebuah rumah yang dibaik pulih semula untuk menjadi asrama sementara bagi menampung 14 penghuni dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tangki air, penapis air, bilik berfungsi sebagai wad sementara, bilik kaunseling, surau dan dewan terbuka sebagai tempat pengajian agama.

Setiausaha PEWARIS, Azmi Mat Napiah, berkata langkah itu turut mendapat sokongan serta dorongan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara apabila turut menghulurkan sumbangan seperti katil hospital, barangan makanan keperluan asas dan sebagai bagi meringankan bebanan PEWARIS.


Antara wakil NGO turun padang menghulurkan sumbangan kepada PEWARIS untuk melengkapkan kemudahan di asrama sementara itu.


Menurutnya, walaupun asrama berkenaan bertaraf sementara untuk menunggu kutipan dana atau wakaf mencukupi bagi tujuan pembinaan bangunan kekal iaitu sebuah kompleks pusat jagaan di Kampung Bukit Napai, Mukim Binjai, daerah Kubang Pasu di Jitra, Kedah yang dijangka menelan perbelanjaan RM4.9 juta, bermacam aktiviti akan diatur di pusat jagaan itu.

Tambahnya, di asrama sementara itu PEWARIS sudah merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti harian termasuklah latihan kerja kemahiran seperti membuat bedak sejuk, telur masin, semaian serta jahitan di samping kelas agama iaitu pengajian hadis, tafsir al-Quran, amali solat, bacaan al-Quran dan mukaddam dengan bimbingan guru agama bertauliah.

Jelas Azmi, umpama pusat jagaan yang sudah lama beroperasi, menu makanan disediakan mengikut jadual ditetapkan, manakala penghuni uzur atau menghidap penyakit penyediaan makanan akan mematuhi nasihat pegawai perubatan hospital atau klinik kesihatan tempat mereka dirujuk untuk mendapatkan rawatan.

“PEWARIS akan menyantuni warga emas ini ibarat sebagai seorang bapa atau ibu yang memerlukan kasih sayang, perhatian untuk dijaga dengan sempurna sebagaimana amanah yang menjadi taruhan dan tidak akan sekali-kali melakukan secara sambil lewa.

“Buat permulaan PEWARIS akan menerima warga emas dalam kalangan asnaf, fakir miskin, gelandangan dan terbiar tanpa waris untuk di tempatkan di asrama sementara ini yang mendaftar secara percuma namun begitu mereka terbabit akan direkodkan latar belakang bagi memudahkan urusan jika berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini,” ujarnya. 


Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan kenangan selepas mengadakan Program Khidmat Komuniti di asrama sementara PEWARIS di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra, Kedah pada 10 Jun 2023.


Azmi berkata, pembukaan asrama sementara itu juga akan dijadikan tempat sukarelawan PEWARIS mempraktik tugasan serta menimba pengetahuan cara menyantuni warga emas dan keperluan yang perlu pada seseorang itu dalam mengurus atau melayani penghuni dengan cara yang betul

Menurutnya, tanpa pengalaman atau pengetahuan asas sudah tentu akan melahirkan sikap kurang sempurna atau mungkin mudah bosan ketika menyantuni warga emas berkenaan kerana pelbagai karenah serta permasalahan akan berlaku terutama dalam mengurus selia mereka yang uzur.

Jelasnya, tugas sukarelawan juga penting dalam membantu PEWARIS mengurus tadbir asrama itu supaya mampu beroperasi dengan lancar dan perkara berkenaan akan dipraktikan semula apabila bangunan kekal sebagai kompleks siap dibina dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas yang lebih baik selain mampu menampung jumlah penghuni dijangka melebihi 50 orang.

Tambah beliau lagi, walaupun sebagai asrama sementara PEWARIS mempelawa pelbagai pihak termasuk NGO untuk hadir bagi menjalankan aktiviti amal kebajikan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) sambil menghulurkan sumbangan bertujuan sama-sama berkongsi rezeki membela nasib warga emas.


Usaha dan komitmen PEWARIS membuka asrama sementara pusat jagaan warga emas sering mendapat perhatian NGO untuk berkongsi rezeki.


“Saya sebelum ini bersama-sama ahli jawatankuasa PEWARIS sudah mengunjungi beberapa pusat jagaan dan rumah kebajikan dalam menjalinkan kolaborasi serta kerjasama bagi menimba pengetahuan mengenai kaedah atau cara terbaik mengurus tadbir warga emas serta pelbagai kelengkapan dan kemudahan asas yang perlu disediakan,” katanya.

Mengenai bangunan kekal yang akan dibina sebagai kompleks itu, Azmi berkata, PEWARIS akan berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkannya semata-mata bagi ambil peduli mereka ditimpa musibah termasuk dalam kalangan asnaf, miskin, ibu tunggal khususnya warga emas terbiar diuruskan dengan sempurna termasuk memberi bimbingan ilmu ibadat dan latihan kemahiran supaya dapat berdikari.

Menurut beliau, apabila siap dibina nanti, kompleks itu akan berada dalam persekitaran suasana perkampungan berdusun kerana kawasan tanah seluas 20 ekar yang bersempadan giat ditanam pokok durian dan akan dijadikan dusun agropelancongan dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk inap desa (rumah inap).


Katil-katil untuk kemudahan penghuni keuzuran turut dikongsikan oleh beberapa pusat jagaan sebagai sokongan kepada PEWARIS.


Tambahnya, kompleks itu juga akan dengan dilengkapi prasarana yang cukup sempurna seperti dua blok bangunan asrama setingkat yang boleh menampung 40 hingga 50 penghuni dengan kemudahan bilik mandi, tandas, membasuh, bacaan, tempat berehat, ruang menonton televisyen dan sebagainya selaras kehendak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, di samping prasarana berkenaan kompleks itu juga akan dilengkapi beberapa bangunan seperti asrama warden, tukang masak, pentadbiran, bilik mesyuarat, wad sementara, kemahiran vokasional, latihan kesihatan, kantin, surau, dewan ilmu, rumah kawalan keselamatan dan rumah inap untuk disewa.

“Sebagai NGO, PEWARIS mempunyai sumber kewangan yang terhad dan kini sudah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada pihak berkenaan bagi melakukan aktiviti mengumpul dana daripada pelbagai pihak dan berharap syarikat besar dapat berganding bahu dengan menghulurkan sumbangan,” ujar Azmi.

Kepada pelbagai pihak atau mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi PEWARIS menerusi nombor telefon Azmi 012-429 7510. - KitaReporters

Azmi Mat Napiah (kiri) bergambar bersama pelajar UUM selepas mengadakan Program Khidmat Komuniti.

21
9
0
7
0

Copy Link: