Sebahagian yang datang mengambil infaq makanan untuk jemaah surau.


KISAH Surau Uwais Ar-Qarni ini sangat tragis. Bukan saja tidak mendapat sambutan oleh penduduk setempatnya, sebaliknya menjadi tempat orang 'luar' pula yang singgah solat. Malah orang yang menguruskan surau itu pun meninggal dunia sebelum sempat habis menambah baik surau berkenaan.

Kisahnya, seorang lelaki yang dikenali sebagai "Abang Man" yang kerap menjadi imam dan makmun, tapi kini sudah meninggal dunia, menyebabkan surau di Pangsapuri Impian di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor ini terbiar. Dan ditambah bil elektriknya tertunggak menjangkau RM3,000, akhirnya surau terpaksa ditutup selama dua bulan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan surau

Kerana kerja menambah baik surau hanya dibuat separuh jalan, taman surau yang tak sempat disiapkan.


Disebabkan bimbang ruang surau itu akan diambil semula oleh pemaju pangsapuri ini, beberapa suri rumah menghubungi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (Pkuf) untuk membantu surau berkenaan termasuk mendapatkan dana segera bagi membayar bil tertunggak itu. 

Cerita seorang peniaga di pangsapuri itu, Zuriani Ali Omar, kejadian malang berlaku selepas mendirikan solat dhuha satu pagi,  Abang Man ke tasik berdekatan dan secara tidak sengaja dia terglincir dan kakinya dikatakan terjelus dalam tanah liat di dalam tasik yang kemudian dipercayai meragut nyawanya. Dia lemas kerana waktu pagi biasanya tasik itu lengang.

Zuriani atau lebih dikenali sebagai Nani berkata selama ini, Abang Man satu-satunya yang menjadi imam dan makmun yang bukan saja menjaga kebersihan surau malah mengelolakan surau itu sebagai tempat anak-anak kariah di situ mengaji al-Quran secara percuma.


Nani (kanan sekali) antara ibu di Pangsapuri Impian yang berharap surau Uwais dihidupkan semula.


Nani berkata usaha mengimarahkan semula surau itu perlu supaya surau itu dapat kembali digunakan dan membolehkan penduduknya serta tetamu dari luar dapat kerap semula singgah di surau ini untuk bersolat, mengadakan kelas al-Quran dan majlis kenduri kendara kecil-kecilan. Ruang surau itu dapat memuatkan 25 orang pada satu-satu masa. 

"Guru mengajar al-Quran dikenali  Ustaz Nizam juga sudah "kehilangan" kerja selepas surau ditutup dan ada anak-anak terpaksa pergi meneruskan kelas agama ini di tempat mengaji dikenali sebagai Pondok Pokok Pisang tidak jauh dari sini. Kami bimbang anak-anak pergi waktu malam," katanya.

Selepas kematian Abang Man, kedai runcit yang menyambung bekalan elektrik ke surau pula tutup. 

Selepas buntu, Nani bersama rakan-rakannya menghubungi Pkuf agar mengambil alih untuk proses mengimarahkan surau dan mencari dana untuk membayar tunggakan bil elektrik berkenaan. 


Alhamdulillah... Infaq penyumbang budiman sudah disampaikan. Semoga pahala untuk Abang Man.


Bila Pkuf mula mencari dana itulah, keajaiban juga berlaku, secara tiba-tiba muncullah beberapa penghuni pangsapuri itu yang sudi menderma tikar getah dan alat pembesar suara

Kerja mencantikkan surau itu selesai dalam masa sehari dengan penduduk secara sukarela membuat sambungan talian elekrtik baru dan pada sebelah malamnya, bila azan tarawih pertama berkumandang, membuatkan penduduk di situ menitis air mata.

Bagaimanapun pengunjung masih tidak begitu ramai mendorong Pengerusi Pkuf, Murniati Usman atau Ummi Ati membawa anak-anak tahfiz dari Daurah Tahfiz Baitul Jannah untuk bersolat tarawih pada malam pertama Ramadan. Ini diikuti dengan kelas Tadarus Al-Quran pada 19 April 2022 ini untuk membaca 15 juzuk kitab berkenaan dan khatamnya sebelum berakhir puasa. 

Usaha mengimarah dan menghantar anak-anak tahfiz bersolat di situ akan berterusan sehingga penghuni pangsapuri itu mengambil alih peranan berkenaan


Pelajar tahfiz Baitul Jannah (lelaki) akan mengimarahkan surau sehingga penghuni ambil alih menceriakan aktiviti.


Norhayati Mohd Derus, Nani dan bersama Siti Rudiyah Baba antara ibu-ibu yang sangat mengambil berat mengenai surau berkenaan yang diberikan percuma oleh pemaju.

"Sudahlah kami bersusah payah meminta ruang ini untuk dijadikan surau sejak menghuni pangsapuri ini pada 2010 dan selepas ditutup dua bulan, anak-anak kariah dari kejiranan kami hilang tempat mengaji dan orang luar yang datang sini pun, dah tak boleh bersolat," katanya.

Pangsapuri lima tingkat itu mempunyai 200 pintu rumah dan kadar sewa RM450 hingga RM500 sebulan.

Siti Rudiyah juga berharap ibu bapa yang di pangsapuri terbabit menggunakan kemudahan surau itu bukan saja untuk bersolat dan mengaji malah untuk kegiatan amal kebajikan yang boleh menyatupadukan penduduknya yang sebahagian besar daripada penghuni muda yang 'sibuk' bekerja.

"Kami sudah berusaha dan setiap kali bertemu jiran, tidak pernah jemu mengajak mereka ke surau. Dengan pembukaan surau ini, kita semua dapat menghargai peluang supaya tidak ditutup lagi," katanya yang akan berharap dapat membuka semula kelas mengaji untuk lebih 30 anak penghuni di situ. - KitaReporters

Pelajar tahfiz Baitul Jannah (perempuan) turut dalam usaha mengimarahkan Surau Uwais Ar-Qarni.

8
16
4
10
1

Copy Link: