KERAJAAN telah meluluskan 350,000 permohonan dan lebih 220,000 atau 60 peratus tablet di bawah program Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah diedarkan sejak pelancarannya pada September 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terus komited dalam membangunkan infrastruktur digital di seluruh negara agar akses infrastruktur digital berkualiti tinggi dan meluas dapat menjadi asas kepada transformasi ekonomi, sosial dan pembangunan tenaga kerja berkaitan.

"Justeru Kerajaan menyediakan PerantiSiswa untuk anak-anak Keluarga Malaysia bagi merapatkan jurang digital dengan menyediakan satu tablet bagi seorang mahasiswa yang berada dalam kelompok keluarga B40.

"Di bawah Bajet 2022, Kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi melaksanakan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia dan setiap pelajar yang layak akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet secara percuma dan berjenama, berkualiti tinggi, mempunyai spesifikasi yang terkini dan disertakan jaminan daripada pengilang. 

"Sejak pelancarannya September lepas (2022), 350,000 permohonan telah diluluskan dan lebih 220,000 atau 60 peratus tablet telah diedarkan," jelasnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia


Ismail Sabri Yaakob berkata demikian pada Majlis Pembukaan Jalan Seksyen Selangau, Pakej Kerja Jambatan Sungai Kua – Jambatan Sungai Arip (WPC08), Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak Dan Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia pada Isnin, 14 November 2022 di Tapak Jejambat Selangau, Sibu, Sarawak

"Bagi Negeri Sarawak, sejumlah 22,265 permohonan telah diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16,505 atau 70 peratus tablet telah diagihkan kepada mahasiswa yang layak. 

"Saya juga difahamkan bahawa sesi agihan turut dijalankan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada hari ini (14 November 2022) melibatkan lebih 400 mahasiswa di sekitar Sibu," katanya.

Akhir sekali, Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang merupakan peneraju inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia. - KitaReporters



Teks ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Pembukaan Jalan Seksyen Selangau, Pakej Kerja Jambatan Sungai Kua – Jambatan Sungai Arip (WPC08), Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak Dan Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia pada Isnin, 14 November 2022 di Tapak Jejambat Selangau, Sibu, Sarawak :


1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Seksyen Selangau, Pakej Kerja Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak dan majlis inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia di Selangau. 

2. Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat menjayakan kedua-dua majlis ini. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

3. Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak merupakan bukti terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada secara lebih terancang, sistematik dan cekap bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak. 

4. Selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, projek tersebut akan memastikan pembangunan sosioekonomi dapat dilaksana dengan lebih baik bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh Keluarga Malaysia di negeri ini. 

5. Secara keseluruhannya, projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik keseluruhan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,046 km. 

6. Keseluruhan jajaran ini dinaikkan taraf kepada empat lorong dua hala sepanjang 192 km di bawah rancangan pembangunan lima tahun negara manakala baki sepanjang 862 km akan dilaksanakan dalam dua fasa. 

7. Bagi Fasa 1, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 km yang dibahagikan kepada 11 Pakej Kerja dari Telok Melano ke Miri, kerja-kerja pembinaan kini pada tahap 89 peratus siap. Insya-Allah, ia bakal siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

8. Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan di Bumi Kenyalang yang dibuktikan dengan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan juga dua lagi projek mega di utara negeri ini iaitu Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB). 

9. Kedua-dua projek mega ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua (2) pilihan jaringan jalan raya. Pilihan pertama, pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Negara Brunei Darussalam, boleh menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 km yang bakal ditambah baik kepada dua lorong dua hala. 

10. Pilihan kedua, pengguna jalan raya dari Miri boleh ke Limbang dan Lawas tanpa melalui Negara Brunei Darussalam menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326 km. Ia merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sejauh 77 km.

11. Projek mega ini yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion, membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa. 

12. Dengan penelitian teknikal kini pada peringkat akhir, Kerajaan komited memulakan pembinaan Fasa 2 Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun hadapan dengan tempoh pembinaannya bakal memakan masa tiga hingga lima tahun. 

13. Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada ‘jalan laluan balak’ sebagai jalan perhubungan utama. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

14. Pada majlis hari ini, Jajaran Selangau sepanjang 27 km melibatkan kos pembinaan RM588 juta, merupakan antara jajaran dalam Pakej Kerja 08 yang termasuk kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada daripada Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 67 km yang mula dibina sejak November 2016.

15. Skop pembinaan jajaran ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan yang sedia ada, pembinaan tujuh buah jambatan, 19 buah hentian bas dan sebuah persimpangan bertingkat. Kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya pada 14 November 2022. 

16. Projek ini membuka peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk terlibat sama sebagai perunding, pembekal atau kontraktor, dalam memacu ekonomi tempatan dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi selain menyumbang kepada pembangunan Negeri Sarawak. 

17. Projek yang dirancang rapi dan bersifat holistic antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, juga bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf sebagai sebuah negeri maju. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

18. Menjadi harapan Kerajaan Persekutuan supaya projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini dapat mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya yang telah dilaksanakan di Semenanjung.

19. Ini kerana transformasi pembangunan luar bandar dan lonjakan potensi pertumbuhan ekonomi dan sosial dapat dizahirkan melalui rangkaian infrastruktur jalan raya yang baik. 

20. Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi dan seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

21. Kerajaan komited dalam membangunkan infrastruktur digital di seluruh negara agar akses infrastruktur digital berkualiti tinggi dan meluas dapat menjadi asas kepada transformasi ekonomi, sosial dan pembangunan tenaga kerja berkaitan. 

22. Justeru Kerajaan menyediakan PerantiSiswa untuk anak-anak Keluarga Malaysia bagi merapatkan jurang digital dengan menyediakan satu tablet bagi seorang mahasiswa yang berada dalam kelompok keluarga B40.

23. Di bawah Bajet 2022, Kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi melaksanakan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia dan setiap pelajar yang layak akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet secara percuma dan berjenama, berkualiti tinggi, mempunyai spesifikasi yang terkini dan disertakan jaminan daripada pengilang. 

24. Sejak pelancarannya September lepas, 350,000 permohonan telah diluluskan dan lebih 220,000 atau 60 peratus tablet telah diedarkan. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

25. Bagi Negeri Sarawak, sejumlah 22,265 permohonan telah diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16,505 atau 70 peratus tablet telah diagihkan kepada mahasiswa yang layak. 

26. Saya juga difahamkan bahawa sesi agihan turut dijalankan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada hari ini melibatkan lebih 400 mahasiswa di sekitar Sibu.

27. Akhir sekali, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang merupakan peneraju inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia. 

28. Dengan kata-kata tersebut dan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Seksyen Selangau dan Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia. 


13
17
0
11
0

Copy Link: