Sebahagian guni disyaki berisi daun ketum yang dirampas PGA di Felda Mata Ayer, Padang Besar. - Kredit foto: Ihsan PGA


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara menahan tiga lelaki berusia di antara 32 dan 33 tahun serta merampas 23 guni putih dipercayai berisi daun ketum seberat 656 kilogram di Felda Mata Ayer, Padang Besar pada 6 Ogos 2021.

Pegawai Pemerintah Medan Markas Taktikal PGA Briged Utara, Deputi Superintendan Mohd Razali Melin berkata rampasan dibuat jam 1.30 tengah hari di kawasan kandang kambing oleh sepasukan anggota Batalion 2 PGA Kulim, Kedah.

“Terdahulu, pasukan PGA yang terdiri daripada seorang pegawai dan 11 anggota  yang sedang jalankan operasi membanteras penyeludupan terserempak tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

“Kesemua mereka termasuk seorang warga Thailand kemudiannya ditahan dan membawa kepada penemuan 23 guni putih mengandungi daun hijau disyaki daun ketum dalam kandang kambing.

“Hasil siasatan awal, mereka dipercayai anggota sindiket yang cuba seludup daun ketum berkenaan ke Thailand melalui 'lorong tikus' terdapat di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar,” katanya dipetik Harian Metro pada 8 Ogos 2021.

Tambah Mohd Razali, pihaknya turut merampas dua motosikal disyaki digunakan oleh suspek dalam kes berkenaan serta empat telefon bimbit pelbagai jenama dengan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM25,445.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan suspek berasal dari Thailand ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 setelah didapati tiada dokumen pengenalan diri serta perjalanan yang sah. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: