Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membentuk satu pasukan petugas bagi menjalankan kajian mendalam untuk menyelesaikan isu berkaitan industri kreatif negara.

Menteri berkenaan Tan Sri Annuar Musa berkata, ia  bagi mewujudkan satu sistem yang membolehkan industri kreatif negara berkembang dengan rangka kerja tersusun dan melonjakkan industri itu ke tahap lebih tinggi.

"Ia bukan hanya soal nak tolong penggiat seni, tetapi untuk melihat industri ini dalam sudut lebih besar dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam konteks memakmurkan negara, memacu ekonomi dan menarik pelaburan," katanya dalam laporan Bernama, 25 September 2021 pada program Bersama Annuar dalam Twitter Spaces Bernama Radio: Industri Seni, Memulihkan Yang Terkesan.

Perbincangan itu disertai penggiat seni dari pelbagai peringkat termasuk pemimpin persatuan anak seni antaranya ialah Presiden Persatuan Seniman Malaysia Zed Zaidi; Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez; Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia Ahmad Ibrahim dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khir Mohd Noor.

Annuar berkata antara misinya setelah keadaan negara pulih daripada pandemik Covid-19 ialah tidak lagi melihat industri kreatif beroperasi seperti biasa, sebaliknya menjadikannya sebagai antara industri terbesar yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - KitaReporters


12
11
0
11
0

Copy Link: