Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali, berkata perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Kredit foto: Utusan Malaysia


SELEPAS Perlis kini Pahang pula membenarkan aktiviti solat Jumaat dan fardu di semua masjid dan surau di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kebenaran itu berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali, berkata perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Berdasarkan SOP baharu itu, seramai 100 jemaah dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid negeri dan masjid daerah, masjid kariah pula hanya 50 orang, manakala surau kebenaran Jumaat pula dihadkan kepada 12 orang sahaja.

"Bagi solat fardu, hanya 12 orang dibenarkan di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau. Namun pengurusan masjid dan surau boleh mengemukakan permohonan penambahan jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan fardu,” katanya seperti dipetik oleh Berita Harian pada Khamis, 1 Julai 2021.

Sementara itu, bagi kawasan PKPD, solat Jumaat dibenarkan dengan 12 orang dan digalakkan menunaikan solat zuhur sebagai langkah berhati-hati keluar daripada khilaf.

Bagi menyekat penularan wabak Covid-19 di masjid dan surau, Zulkifle berkata, bukan warganegara Malaysia, bukan ahli kariah, individu bergejala, imam dan khatib dari luar Pahang tidak dibenarkan.

Tegas beliau jemaah di bawah umur 12 tahun dan warga emas berusia 75 tahun ke atas turut tidak dibenarkan," katanya. - KitaReporters


31
5
5
0
0

Copy Link: