Seekor tapir jantan mati dirempuh sebuah pacuan empat roda di KM39, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu pada 3 Mac 2021. 


Sebanyak 15 ekor Tapir Malaya atau ‘Tapirus Indicus’ mati akibat dilanggar oleh kenderaan telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Julai 2021.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata jumlah itu menunjukkan trend peningkatan berbanding 24 ekor direkodkan mati dilanggar sepanjang tahun 2020.

“Empat negeri didapati kerap dilaporkan kes tapir mati dirempuh kenderaan iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor dengan kebanyakannya melibatkan tapir jantan.

“Biasanya kes kemalangan berlaku di jalan persekutuan dan hanya tiga kes sahaja dilaporkan berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur 1 dan 2 (LPT),” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro pada 21 Ogos 2021.

Tambah beliau, hasil pemerhatian Perhilitan mendapati tapir semakin kerap keluar dari habitat asal dan ke kawasan penempatan manusia kerana habitat mereka terganggu.

Ujar Abdul Kadir lagi, situasi sedemikian antara punca haiwan itu mudah ditemui berkeliaran di jalan raya hingga sering terlibat dalam kemalangan.

“Kes tapir jatuh lubang, terperangkap atau merayau ke kawasan kediaman penduduk semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Sebanyak empat ekor Tapir Malaya diselamatkan daripada diancam kepupusan pada tahun 2021 ini. Buat masa ini, ancaman utama tapir adalah pemecahan habitat serta perburuan menggunakan jerat dan senjata api,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, anggaran minimum populasi tapir ketika ini di seluruh Semenanjung Malaysia adalah di antara 1,100 hingga 1,500 ekor sahaja. - KitaReporters


 

0
1
4
0
0

Copy Link: