KERAJAAN menjangkakan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan dalam tempoh tiga minggu lagi selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa diambil dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus dalam tempoh itu.

Antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM ialah menggerakkan lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) atau Pasukan Vaksinasi Perubatan Tentera untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pedalaman.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, ATM turut diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.

"Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya seperti dipetik Berita Harian, Sabtu, 25 September 2021. - KitaReporters


11
14
0
13
0

Copy Link: