Berjiran, bersaudara, bersekutu, berseteru! Evolusi dan emosi bola sepak Malaysia-Singapura!

Published by
KitaReporters

KAPTEN Malaysia, Soh Chin Aun (kiri) bersalaman dengan Samad Allapitchay dari Singapura pada Piala Ovaltine 1981 di Stadium Nasional, republik itu. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


BULAN April 2021 ini, genap 40 tahun jika tradisi pertandingan bola sepak antara dua negara jiran, Piala Ovaltine diteruskan sehingga hari ini. 

Pertembungan jiran (derby match) antara Malaysia dan Singapura ini hanya bertahan sehingga 18 Ogos 1984 dan terdapat percubaan menjenamakannya semula kepada Cabaran Tambak pada 2004 yang hayatnya sekadar dua tahun namun sempat kembali pada 2012 dan 2016.  

Singapura mula mendakap trofi sumbangan syarikat Wander Pte. Ltd. itu menerusi jaringan agregat 3-2 dan mempertahankannya, setahun kemudian apabila menang 3-1, namun Malaysia menjinakkan lawan 1-0 tanggal 1983 dan menang lagi dengan 2-1 dalam edisi terakhir untuk terus menyimpannya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak

 

MALAYA, juara Pestabola Merdeka 1960 dengan Choo Seng Quee (belakang, empat dari kanan), Arthur Koh (tengah, tiga dari kanan), Mahat Ambu (tengah, kanan) dan Majid Ariff (tengah, kiri). - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


Biarpun ada ganjaran puluhan ribu RM sebagai rebutan dan sumber penggalak daya saing kedua-dua Sang Belang dan Sang Singa, namun Cabaran Tambak dan perlawanan timbal balas Piala Ovaltine ini juga berupa jambatan muhibah bola sepak Malaysia dan Singapura.    

Sebenarnya ‘saham’ sejarah perkembangan bola sepak Malaysia khususnya pasukan kebangsaan turut dipunyai Singapura sejak awal kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya ketika era 50-an lagi.

Sebelum Singapura menyertai gagasan Malaysia pada 1963 dan disingkirkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, dua tahun kemudian, Rahim Omar, Arthur Koh, Mahat Ambu, Majid Ariff dan Lee Kok Seng merupakan antara segelintir jagoan padang yang saling bertukar jersi kedua-dua pasukan kebangsaan ini.

Rahim yang berasal Singapura, pernah berhijrah ke Negeri Sembilan dan Selangor malah ‘berpaling tadah’ kepada jersi berbelang hitam Malaya pada Sukan Asia Tokyo 1958 sedangkan dia mewakili koloni Britain itu dalam Sukan Asia Manila 1954. 

Kemasukan ‘Budak Nakal’ tetapi berkemahiran tinggi ini sebagai pemain naturalisasi Malaya dikatakan banyak hasil ikhtiar Tunku yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaya/Malaysia (FAM) dan saranan jurulatih kelahiran Singapura, Choo Seng Quee. 

Rahim turut membantu Malaya menjuarai Pestabola Merdeka 1958 dan 1959 selain beberapa kali menjulang Piala Malaya bersama Singapura dengan yang paling dikenang ialah pada 1964 kerana digelar ‘Perlawanan Akhir Rahim Omar’. 

Jasa Seng Quee - jurulatih profesional pertama Malaya dengan gaji bulanan RM700 - terserlah ketika membimbing pasukan negara bergelar juara hatrik Pestabola 1958, 1959 dan 1960 (berkongsi dengan Korea Selatan). 

Koleksi kejayaan hebatnya bersama Malaya dilebarkan pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961 dan pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962. Barisan bintang bimbingannya mengandungi Edwin Dutton, Yusoff Bakar, Sexton Lourdes, Abdullah Yeop Noordin, Robert Choe, M. Kuppan, Mahat, Majid, Abdul Ghani Minhat dan Arthur. 


FINAL Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur berkesudahan dengan Malaysia (jersi putih) meraih pingat emas dengan menundukkan Singapura 3-1 pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos 1989. 


Namun sebagai jurulatih Singapura, ‘Pak Cik Choo’ juga dianggap perancang utama kekalahan mengejut barisan handalan Malaysia seperti James Wong, Isa Bakar, R. Arumugam, Santokh Singh, Yip Chee Keong dan Soh Chin Aun, 1-0 kepada pasukan negara asalnya dalam Kelayakan Piala Dunia 1977 di Stadium Nasional, republik itu.   

Kok Seng lahir di Kuala Lumpur dan mula mencipta nama sebagai pemain Kelab Sukan dan Rekreasi Cina Selangor ketika berusia 17 tahun dan menuntut di Sekolah St. John’s Institution sehingga memiliki karier tetap selaku pegawai polis Singapura dan bersara dari arena bola sepak di seberang Tambak Johor itu selepas 13 tahun. 

Dialah satu-satunya pemain yang menyarung lilitan kapten pasukan kebangsaan Malaysia dan Singapura pada 1964. Selepas seketika di Selangor, dia terpilih menyertai pasukan Singapura mulai 1954 serta tiga kali menjulang Piala Malaya. Mula memimpin Singapura pada 1956 dan pernah beraksi pada Sukan Asia Manila 1954 dan Tokyo 1958. 


SAYAP kanan Malaysia, Safawi Rasid (kanan) saling memburu bola dengan pemain Singapura, Faritz Hameed dalam Cabaran Tambak 2016 di Singapura. - Kredit foto FAM.



KESEBELASAN Malaysia (atas) dan barisan Singapura yang bertarung demi Piala Ovaltine 1981 antaranya Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Khalid Ali, Shukor Saleh, Nasir Jalil, Mohamed Noh Hussein, Samad Allapitchay, David Lee, Fandi Ahmad dan Malek Awab.


Arthur berhijrah ke Selangor selepas beberapa tahun menyinar dengan Singapura pada Piala Malaya dan Sukan Asia Tokyo 1958. Pakar gol tandukan ini terus membuktikan kehebatan dengan negara angkatnya, Malaya pada usia 22 tahun sehingga bergelar juara Pestabola Merdeka 1959 dan 1960. 

Seperti Rahim, dia menukar bendera pada dada kirinya pada Sukan Asia Jakarta 1962, namun keputusan nekad itu memang berbaloi. Sebutir pingat gangsa menjadi buah tangannya buat Malaya malah dia menyumbat empat gol ketika membelasah Filipina 15-1. Turut mereka tewaskan ialah Vietnam Selatan 4-1 dan tuan rumah Indonesia 3-2.   

Kudrat Majid, perantara bertahan kiri tampak lebih dihargai Perak dan Malaya mulai 1961 biarpun sudah menabur bakti di Singapura pada akhir 50-an. Majid menyarung jersi jalur hitam kuning Malaya ke Sukan Asia Tokyo 1958 dan menghadiahkan pingat gangsa Sukan SEAP Bangkok 1959 serta emas Rangoon 1961. 

Mahat turut menganggotai skuad Malaya juara Pestabola 1960 dan pemenang gangsa di Jakarta serta emas di Rangoon namun setelah beberapa tahun memburu hujan emas di negeri orang, penyerang tengah ini kembali berhujan batu bersama tanah airnya pada 1965 dan menamatkan karier bola sepaknya di Singapura..

Pestabola Merdeka dari 1963 hingga 1965 menyaksikan gabungan para pemain handalan Malaysia dan Singapura dalam sebuah pasukan yang seusia gagasan penubuhan Persekutuan Malaysia oleh Tunku. Namun keputusannya dalam kejohanan karya Bapa Kemerdekaan itu cukup mengecewakan. 

Antara yang rela menyeberang Selat Tebrau untuk bersama Malaysia pada ketiga-tiga edisi Pestabola itu ialah Wilfred Skinner, Lee Teng Yee, Quah Kim Swee, Quah Kim Siak, Ali Astar, Lee Wah Chin dan Majid selain Kok Seng. Gabungan Malaysia-Singapura ini hanya menduduki tempat kelima daripada tujuh pasukan (1963) dan corot dalam liga kumpulan (1964 dan 1965).

AKSI derby klasik Malaysia (putih) dan Singapura dalam Kelayakan Piala Dunia 1977 yang dimenangi tuan rumah, 1-0.


PERTEMBUNGAN Malaysia (kuning) dan Singapura dalam Piala Aimarine 2019. - Kredit foto FAM.


Biarpun tidaklah sehangat dan 'seribut' dengan satu lagi jiran, Indonesia, perseteruan bola sepak Malaysia-Singapura dalam alaf baharu tetap mendapat perhatian dan mencipta tajuk utama media. Piala Tiger 2002 merakamkan kenduri gol Malaysia 4-0 di Singapura namun lawan membalas dendam, 3-0 di Bukit Jalil pada Piala AFF 2012.   

Harimau Malaya yang baru bergelar juara Piala AFF 2010, disekat Sang Singa lagi dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2011 menerusi agregat 6-4. Dengan dibanjiri tonggak import Eropah dan China seperti Aleksandar Duric, Mustafic Fahrudin, Qiu Li, Daniel Bennett dan Shi Jiayi, Singapura menang 5-3 di padang rumput tiruannya, Stadium Jalan Besar sebelum mengikat tuan rumah 1-1 di Bukit Jalil.

Namun Dollah Salleh dan anak-anak buahnya pula berpesta dengan kemenangan 3-1 di Singapura untuk mara ke separuh akhir seterusnya muncul naib juara Piala AFF 2014. 

Kali terakhir dua jiran ini bertembung ialah dalam Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyebelahi Singapura 1-0 menerusi jaringan Faris Ramli dengan mengatasi Khairul Fahmi Che Mat, lapan minit sebelum wisel penamat. - KitaReporters


 

DATUK Abu Bakar Daud, pengurus pasukan Malaysia menjulang Piala Ovaltine 1983 sambil diraikan oleh pemain-pemain di Stadium Nasional, Singapura. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


 

SOH Chin Aun (kiri) berpelukan dan bersalaman dengan Samad Allapitchay ketika perlawanan Piala Sultan Selangor antara Veteran Selangor dan Veteran Singapura di Stadium Shah Alam, beberapa tahun lalu. 

0
0
0
0
0

Copy Link: