JIKA KE PATTANI SOLAT DI ''TAJ MAHAL THAILAND''

Published by
KitaReporters

BUKAN tomyam, makanan enak yang pelbagai dan barangan murah sahaja ada di Thailand. Ini kerana jika ke Thailand, khususnya di selatan negara Gajah Putih itu, pasti akan tertarik dengan beberapa seni bina yang menjadi mercu tanda pelancongannya. : KitaReporters.com

KEINDAHAN seni bina Masjid Jamek Pattani menjadikannya mendapat jolokan Taj Mahal Thailand.


Ada juga berpandangan bahawa Thailand, kerana penduduknya beragama Buddha, hanya rumah ibadat agama itu yang terkenal dan sering dikunjungi ramai.

Namun sebenarnya, Thailand, lebih-lebih lagi di selatan wilayah iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat  juga mempunyai sisi yang mampu menambat hati pengunjung dengan tarikan tersendiri.

Misalnya, Masjid Jamek Pattani yang mendapat jolokan Taj Mahal Thailand menjadi simbol kepada penyatuan masyarakat Islam di tiga wilayah bergolak itu.

MASJID Jamek Pattani bukan sahaja menjadi lambang simbol cinta seperti Taj Mahal tetapi berfungsi sebagai pusat penyatuan sebarkan syiar Islam di wilayah Thailand.


Berkesempatan menemui Imam Masjid Jamek Pattani, Abdul Razak Wan Soh semasa lawatan penulis ke tiga wilayah di selatan Thailand baru-baru ini membuka kekaguman tentang peranan yang dimainkan masjid berusia lebih setengah abad ini.

Antaranya, ia mempunyai persamaan dengan bangunan yang memiliki simbol cinta di India, masjid dipanggil Taj Mahal Thailand dalam kalangan masyarakat setempat.

"Ia ambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan dan dibina pada tahun 1954. 

"Bangunan masjid memiliki seni bina yang menarik dengan memiliki sebuah kubah besar dan dikelilingi empat lagi kubah yang lebih kecil serta dua menara.

"Seni binanya nyata mempunyai persamaan dengan bangunan simbol cinta di India itu kerana mempunyai kolam besar yang panjang di hadapan pintu masuk utamanya,'' kata Imam Abdul Razak.

Abdul Razak Wan Soh menjadi Imam Masjid Jamek Pattani sejak 7 tahun lalu.


Lebih istimewa, masjid ini juga mengandungi ruang solat yang besar dan koridor panjang untuk kemudahan pendudukan Islam di Pattani.

Terdapat beberapa bahagian masjid yang menarik, antaranya tempat muazzin melaungkan azan yang terletak di dalam masjid.

Menurut Imam Abdul Razak, semasa sambutan Ramadan dan hari raya, masjid terbesar yang letaknya di tengah-tengah bandar tua ini akan dipenuhi jemaah bukan sahaja daripada wilayah Pattani tetapi juga Yala dan Narathiwat.

"Pada masa hari perayaan sebegitu, semua penduduk di wilayah ini akan mengambil kesempatan mengeratkan ukhuwah sesama sendiri dan saling ingat mengingati tentang syiar Islam selain mempromosi masjid sebagai tempat untuk sebarkan keamanan, tetapi menolak keganasan,'' tambah Imam Abdul Razak. 

Ruang dalaman yang luas lagi selesa untuk jemaah bersolat di Masjid Jamek Pattani.


Beliau merujuk kepada putaran keganasan yang berlaku kepada tiga wilayah bergolak, tanpa terkecuali Pattani sejak 2004 apabila berlaku rampasan di gudang senjata di Chan Airong di Narathiwat pada 6 Januari tahun itu.

Sejak tarikh itu, Pattani, Yala dan Narathiwat tidak pernah sunyi daripada kes keganasan yang berlaku hampir setiap hari. Imam ditembak, guru dibom, sami Buddha ditetak, anak muda dibunuh dan wanita turut jadi mangsa peluru tidak bermata.

Bekas Imam Masjid Jamek Pattani, Yaakob Ramaini juga pernah menjadi mangsa tembakan mati pihak penjenayah pada Ogos 2013.

Untuk rekod, Imam Yaakob mati dibunuh dengan kejam apabila ditembak dua das di kepala. Semasa kejadian, Allahyarham sedang membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan di pekan Pattani.

Selepas kematiannya, tempat Allahyarham digantikan Imam Abdul Razak sehingga kini.

HIASAN pancuran air di kolam terbuka menyerlahkan kecantikan Masjid Jamek Pattani.


Di selatan Thailand, imam-imam bertindak memainkan peranan dalam menyampaikan dakwah selain menjadi ketua dalam mengimamkan solat secara berjemaah.  

Ditanya mengenai insiden menimpa Allahyarham Imam Yaakob, Imam Abdul Razak berkata, imam-imam di selatan Thailand tidak akan cuai menggalaskan tugas masing-masing dalam memberikan didikan agama kepada masyarakat setempat.

Ujarnya, langkah mereka itu mendapat sokongan daripada pihak Majlis Agama Islam di mana penyampaian dakwah dilakukan setiap minggu menerusi khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak berkuasa agama itu. 

"Inilah yang pelbagai pihak cuba lakukan di Masjid Jamek Pattani. Di sebalik kecantikannya tersergam di tengah-tengah bandar Pattani, fungsi dan simbolnya lebih daripada memberi kekaguman kepada mereka yang melihatnya, tetapi pengisiannya menyebar luas dakwah demi penyatuan ummah, itu lebih penting. 

"Untuk dekad baharu ini, kita sedaya upaya dengan kerjasama serta sokongan semua pihak, akan menjadikan Masjid Jamek Pattani berfungsi sesuai dengan aspirasi terkini,'' tegas Imam Abdul Razak. 

SALAH seorang jemaah membaca al-Quran di dalam Masjid Jamek Pattani.


Memperkatakan mengenai keganasan di selatan Thailand, sejak 2004, di mana berlaku rampasan di gudang senjata Chan Airong, Narathiwat, tiga wilayah di seberang perbatasan Malaysia menyaksikan kumpulan pemisah berjuang menentang pemerintahan Thailand yang majoriti Buddha, menduduki kawasan itu lebih seratus tahun lalu.

Putaran keganasan tanpa henti itu menyebabkan hampir 7,000 nyawa melayang, kebanyakannya orang awam. 

Malah, keganasan dan konflik menyebabkan anak-anak menjadi yatim piatu ditinggalkan ibu bapa, isteri menjadi janda apabila suami masing-masing maut sama ada ditembak atau dibom.

Dalam hal ini, tentera-tentera Thailand didakwa telah bertindak di luar batas kemanusiaan ketika memasuki wilayah-wilayah yang bergolak.

Penentangan dalam kalangan penduduk tempatan dibalas dengan penangkapan tanpa bicara pemimpin ulama dan para pengikutnya. 

Pihak polis pula menyerang secara senyap terhadap para imam dan guru-guru agama yang dituduh menyebarkan sentimen anti-Bangkok. 

Guru-guru agama dan imam di kampung-kampung turut hilang begitu sahaja dan penduduk Islam mendakwa polis Thailand yang melakukannya. 

Polis Thailand juga dituduh menghina agama Islam dan menyebarkan agama Buddha dalam kalangan pelajar-pelajar Islam.

Kumpulan-kumpulan penjenayah juga dipercayai mengambil kesempatan melakukan kekacauan termasuk pembunuhan ke atas pegawai-pegawai polis yang dianggap menjadi penghalang kepada aktiviti-aktiviti haram yang mereka jalankan. 

MASJID Jamek Pattani tersergam indah di tengah-tengah bandar tua Pattani.


Pattani adalah satu daripada empat wilayah di selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam dan sebagai antara wilayah baru yang diwujudkan dari negara Pattani yang asal, demografinya tidak jauh berbeza dengan wilayah majoriti Melayu Islam yang lain seperti Narathiwat, Yala, Satun dan Songkhla.

Sementara itu, tidak sukar untuk menemui masjid yang cantik di Pattani ini. 

"Terletak di Jalan Yarang, dengan melalui perjalanan beberapa puluh minit dari jalan besar dan lorong kecil antara ladang dan sawah, mereka yang datang ke sini akan disambut dengan bangunan unik yang mempunyai seni bina campuran Thailand, Melayu, dan China,'' kata Imam Abdul Razak.

Bagi pengunjung luar terutamanya dari Malaysia amat mudah untuk tiba di masjid itu kerana terdapat papan penunjuk arah yang membantu mereka tiba di masjid bersejarah berkenaan. - KitaReporters.com

0
3
0
0
0

Copy Link: