NCOV: HEBAT KAMU!! SANGGUP CUKUR RAMBUT...

Published by
KitaReporters
Demi minat dan sayang kepada kerjaya yang disandang, dia sanggup melakukan apa sahaja. Itu yang berlaku kepada seorang jururawat dari Hospital Renmin Universiti Wuhan di China yang sanggup berkorban mencukur rambutnya bagi memudahkan dirinya bertugas ketika wabak koronavirus sedang menular di seluruh dunia. : KitaReporters.com

JURURAWAT dari Hospital Renmin Universiti Wuhan sanggup membotakkan kepala bagi memudahkan diri ketika bertugas. - Foto Chinadaily.com


Hebat sungguh! Wanita itu sanggup berkorban segala-galanya demi kerjayanya.

Shan Xia, yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu mendedahkan tindakan tersebut juga bagi mengelakkan jangkitan silang.

Malah, memetik laporan China Daily.com, wanita berusia 30 tahun itu berkata, tindakan berkenaan dapat menjimatkan masa apabila mahu memakai dan menanggalkan pakaian perlindungan diri.

Betul juga, dengan penampilan rambut pendek proses menukar baju juga lagi mudah, sekali gus menjimatkan masa.

Berdasarkan maklumat terkini pada Selasa, 4 Februari 2020, The People's Daily melaporkan sebanyak 20,438 orang telah disahkan dijangkiti 2019 Novel Koronavirus atau 2019-nCoV di tanah besar China, manakala angka korban masih kekal 425 orang.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China menyatakan, 20,438 kes di China itu termasuk 15 di Hong Kong dan lapan di Macau. Taiwan pula melaporkan 10 kes jangkitan. 

Satu kematian dilaporkan di Hong Kong,  yang kedua di luar China. Kematian pertama direkod di Filipina.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan 23 negara di luar China mencatatkan 146 kes disahkan dijangkiti Koronavirus baharu ini.

Shan Xia tampil bersahaja selepas membotakkan kepalanya.


Sementara itu, memetik berita Xinhua, beberapa pesakit di China yang dijangkiti koronavirus beransur pulih dan kebanyakan mereka sudah dibenarkan keluar hospital.

Di bandar Suining di wilayah Sichuan barat daya China, seorang pesakit dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 13 orang.

Manakala, di wilayah Fujian timur, pula seorang pesakit juga dilaporkan telah pulih.

Sebelum ini, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan telah menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada daripada 959 pekerja perubatan membabitkan tujuh wilayah dan bandar menuju ke Wuhan, pusat epidemic koronavirus.

Pesakit yang dijangkiti koronavirus semakin pulih dan beberapa pesakit dibenarkan pulang ke rumah. - Foto Reuters.


Pasukan tersebut datang dari Henan, Jilin, Shanxi dan Shaanxi serta Majlis Perbandaran Tianjin dan Chongqing, serta lebih ramai pasukan perubatan sedang bersedia untuk ke Wuhan.

Sebanyak tujuh kumpulan telah dihantar ke Beijing, Hebei, Shanghai, Henan, Hunan, Guangdong dan Sichuan bagi menyelia sistem pentadbiran bertujuan membendung penyebaran wabak koronavirus. 

“Kumpulan itu akan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja pemantauan epidemik, rawatan perubatan, pencegahan dan kawalan epidemik oleh komuniti dan institusi perubatan,” kata suruhanjaya itu. - KitaReporters.com

 

5
22
0
0
0

Copy Link: