Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dan penyanyi popular dari Bumi Kenyalang, Dayang Nurfaizah bakal kembali ke pentas berprestij Istana Budaya selepas lapan tahun. Melalui Konsert Amal Alunan Irama 2020, baik Jamal atau pun Dayang belum memutuskan sama ada untuk ‘berduet’ ketika kedua-duanya menghiburkan peminat selama lebih kurang 30 minit setiap seorang. : KitaReporters


“Kami berdua mempunyai range vokal yang berlainan, jadi kami perlu mencari satu lagu yang boleh serasi untuk dibawa,” ujar Jamal ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut di Istana Budaya pada Selasa, 25 Februari 2020 yang turut dihadiri Dayang Nurfaizah.

Bersama hadir pada majlis sidang media tersebut terdiri daripada pihak penganjurnya, Pengerusi Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak merangkap Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Parlimen Bandar Tun Razak, Azman Abidin (gambar bawah: tiga dari kiri); Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato Mohamed Juhari Shaarani (kiri), Presiden Karyawan Malaysia, Dato Freddie Fernandez (kanan) dan Maznah Abu Bakar selaku Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur merangkap Penasihat Educaring Team.

 

Menyambung bicaranya, menurut  Jamal, dengan masa setengah jam yang diberikan, beliau mungkin sempat mengalunkan lima buah lagu sahaja, namun jika ada permintaan untuknya berduet dengan Dayang beliau tidak keberatan.

Bersetuju dengan pandangan Jamal, Dayang juga tidak keberatan berduet dengan Jamal sekiranya ada permintaan, namun perlu mencari sebuah lagu yang boleh serasi dengan range vokal masing-masing.

“Kami pernah bernyanyi bersama lagu ‘Kehebatan Cinta” dan ‘Sandarkan Kepada Kenangan’ di pentas sama lapan tahun lalu. 

"Memang satu cabaran bagi Dayang untuk mencapai nota lagu-lagu Jamal,” akui pasangan duet kepada penyanyi Hael Husaini melalui lagu “Haram” ini.

Lanjutan daripada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan Hael, Dayang memberitahu tidak terkesan dengan usikan netizen yang sentiasa mahu menggandingkan dirinya dengan Hael Husaini sebaga pasangan 'kekasih’.

“Saya mengakui memang kami rapat dan selesa sebagai rakan duet, tetapi tiada hubungan istimewa, namun untuk masa hadapan tak tahulah. Doa yang baik-baik sahaja,” ujar penyanyi berusia 38 tahun ini.

Menyentuh kembali persembahan pada Konsert Alunan Irama,  Dayang memberitahu akan memilih lagu-lagu hit beliau yang sesuai dengan golongan jiwa penonton.

Jika Jamal mengambil pendekatan mendendangkan lagu-lagu daripada pilihan pihak penganjur, Dayang mahu memilih lagu-lagu yang dirasakan sesuai dialunkan untuk konsert.

“Saya akan memilih sendiri lagu mana yang sesuai untuk malam amal tersebut,” jawab Dayang.


Konsert Amal Alunan Irama akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 11 dan 12 April 2020 jam 8.30 malam yang turut menyaksikan dua artis undangan yang popular dengan genre irama tradisonal iaitu Datuk Yusni Hamid (dua dari kanan) dan penyanyi yang lahir dari program realiti AF4, Haziq Rosebi (kanan).

Sementara itu,  Azman Abidin, memberitahu konsert amal yang dianjurkan bertujuan mengumpul dana bagi pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar-pelajar kurang bernasib baik di sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

“Selain itu, dana akan disumbangkan juga kepada Persatuan Karyawan Malaysia untuk membantu kebajikan ahli-ahli mereka,” tambah Azman.

Menurut Azman, selain tujuan konsert diadakan di Istana Budaya adalah untuk memberi peluang kepada golongan Asnaf, kumpulan B40 dan yang kurang berupaya untuk merasai pengalaman menjejakkan kaki ke dewan berprestij Istana Budaya melalui penajaan syarikat-syarikat korporat dan penyumbang-penyumbang individu yang pemurah.

Orang ramai yang berminat melakukan amal ibadah apatah lagi menjelang Ramadan boleh memilih untuk membeli tiket berharga RM100, RM170, RM270 dan RM370 yang akan dibuka jualannya menerusi www.myticket.asia mulai 10 Mac 2020.

Jom berhibur sambil menderma ke arah kebaikan seraya dikurniakan pahala buat bekalan di akhirat! - KitaReporters

4
0
0
1
0

Copy Link: