SEBAHAGIAN penyokong bola sepak Indonesia yang menghadiri perlawanan Pra-Piala Dunia menentang Malaysia Khamis (5 September) malam, disifatkan sebagai telah 'menodai' hubungan akrab antara Indonesia dan Malaysia yang sudah sekian lama terjalin.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasni Shafie berkata, tindakan mereka itu tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi berbeza dengan hubungan yang sangat intim antara negara dan rakyat kedua-dua negara ini yang sudah lama disemai melalui hubungan serantau. 

Malah, Indonesia dan Malaysia, tegasnya, bersaudara kerana kita berkongsi bahasa pertuturan yang hampir sama, katanya kepada KitaReporters hari ini  (6 September).

"Tetapi, insiden yang berlaku di stadium malam kelmarin, telah meninggalkan titik hitam bukan sahaja kepada pemain tetapi juga kepada penyokong-penyokong Timnas Malaysia sehingga ada yang cedera dan dimasukkan ke hospital di Jakarta. 

"Malah, maksud lucah (Fuxx You) yang dipamerkan melalui formasi penyokong-penyokong Indonesia di dalam stadium juga tidak mencerminkan tatasusila masyakarat Indonesia yang memang kita kenali dengan penuh sopan santun dan menghormati tetamu," kata Jasni ketika dihubungi.

Malaysia telah bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pertama pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.

Menurut Jasni, memang diakui setiap perlawanan yang melibatkan Malaysia dan Indonesia, khususnya bola sepak menimbulkan minat yang amat luar biasa dalam kalangan penyokong kedua-dua negara.

"Tetapi di Malaysia, laporan sukan kami akan mengelak sebarang sentimen yang boleh mengapi-apikan sehingga menimbulkan `ketegangan’ dalam kalangan penyokong. 

"SAM juga yakin pihak media sukan di Indonesia turut mempunyai tanggungjawab yang sama. 

"Justeru itu, SAM sudah menghubungi beberapa rakan pengamal media sukan di Indonesia menyatakan kebimbangan mengenai sikap yang ditunjukkan oleh penyokong Indonesia yang boleh meninggalkan imej yang kurang baik kepada industri sukan di rantai Asia Tenggara," jelasnya.

Jasni memberitahu, SAM memohon rakan-rakan media sukan di Indonesia agar membantu menyampaikan rasa duka cita peminat sukan di Malaysia terhadap insiden yang berlaku di Gelora Bung Karno kelmarin.

"Selain itu, SAM memohon FIFA untuk mengambil serius peristiwa ini.

"Jangan biarkan tindakan sebahagian kecil penyokong ini menodai kemesraan antara Malaysia–Indonesia yang sudah lama terjalin," ujarnya lagi.

0
0
0
0
1

Copy Link: