MASYARAKAT di Daerah Petaling, Selangor perlu peka dan prihatin mengenai masalah demam denggi yang masih berterusan hingga sekarang. Malahan ia juga adalah penyakit serius boleh membawa maut jika tidak dibendung serta dirawat dengan sewajarnya. : KitaReporters

Dua penduduk Rumah Pangsa Kos Rendah Seri Serdang mengangkat barangan buangan dan dicampakan melalui tingkat tiga flat berkenaan semasa Program Gotong Royong Mencegah Denggi dan Basmi Tikus. - Kredit Foto: Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Lagi kisah-kisah berkaitan demam denggi:

https://kitareporters.com/search?search=demam+denggi


Untuk itu, setiap individu perlu sama-sama  berganding bahu khususnya mereka yang tinggal dalam sesebuah komuniti bertindak mencegah wabak berkenaan daripada terus merebak dan menular.

Kawasan kediaman dan sekitaran perlu bersih daripada pelbagai kekotoran sampah sarap, air bertakung, barangan buangan serta apa sahaja pencemaran yang boleh mengundang pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca demam denggi.

Usaha pembersihan kawasan komuniti melalui aktiviti gotong royong wajar dilaksanakan oleh badan-badan tertentu seperti Persatuan Penduduk, Ahli Jawatankuasa Masjid atau Surau, Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT), Perkumpulan Perempuan dan sebagainya bagi tujuan ini.

Sekalipun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 20 Disember 2020 ini di Lembah Klang dan Selangor kecuali di Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor serta  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Disember 2020 di seluruh negara, aktiviti ini boleh dijalankan dengan mematuhi setiap peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Langkah drastik lagi berkesan perlu dilakukan bagi mengekang masalah demam denggi yang boleh dianggap sebagai suatu fenomena masyarakat hari ini melalui konsep kawalan kendiri oleh setiap individu dan bukan hanya berharap kepada pihak tertentu seperti agensi kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.

Kerja-kerja membersih kawasan daripada pelbagai sampah dan barangan terbuang turut dilakukan pada Program Pemberdayaan Komuniti Bersih dan Ceria.


Memandangkan Daerah Petaling merupakan antara lima daerah di Selangor yang tertinggi mencacatkan kes demam denggi antara 29 November hingga 5 Disember 2020 sewajarnya masyarakat yang tinggal di daerah ini peka mengenai masalah berkenaan khususnya mereka di kawasan merah (hotspot) perlulah sama-sama berusaha mengatasinya atau sekurang-kurangnya membendung penyakit itu daripada terus meningkat.
Dalam konteks ini, kita janganlah beranggapan hanya virus COVID-19 sahaja yang perlu diberikan tumpuan semata-mata hingga lupa terus mengenai penyakit demam denggi yang berpunca daripada masalah kebersihan kawasan dan membiarkan air bertakung merata tempat, sekalipun pada kadar terlalu sedikit.
Masyarakat perlu faham bahawa antara virus COVID-19 dan demam denggi sebenarnya sama-sama serius kerana kedua-duanya boleh membawa maut jika tidak ditangani dengan serius mengikut kaedah yang ditetapkan.
Daerah Petaling merupakan antara lima daerah utama di Selangor yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi dengan jumlah kes 15,040 (34.8%) diikuti Hulu Langat 9,442 kes (21.8%), Klang 6,814 kes (15.8%), Gombak 6,390 kes (14.8%) dan Sepang 2,353 kes (5.4%), menurut kenyataan Pengarah Kesihatan Selangor, Dato' Indera Dr. Sha'ari Ngadiman pada Isnin 7 Disember 2020.

Salah sebuah gerai tinggal yang terletak di hadapan jalan masuk utama ke Pangsapuri Enggang di Bandar Kinrara 6 turut dibersihkan pada Program Pemberdayaan Komuniti Bersih dan Ceria kerana ia menjadi antara punca pembiakan nyamuk aedes.


Menurutnya, bagi tempoh minggu epidemik ke-49 tahun ini, sejumlah 152 lokaliti wabak denggi aktif dengan perincian lokaliti iaitu hotspot (17 lokaliti), wabak tidak terkawal (6), wabak terkawal (125) dan wabak baharu (4). Bilangan lokaliti gotspot berdasarkan daerah pula ialah Hulu Langat (9 lokaliti), Petaling (7) dan Klang (1).
Manakala jumlah kematian pula sebanyak 37 kes dilaporkan dalam tempoh ini iaitu turun 31.5% (17 kes) berbanding minggu yang sama pada 2019 iaitu 54 kes.
Melalui kenyataan itu, beliau memberitahu, kes demam denggi yang dilaporkan di Selangor untuk tempoh antara 29 November hingga 5 Disember 2020 meningkat 11.4% iaitu sejumlah 420 kes berbanding 377 kes pada minggu sebelumnnya.
Bagaimanapun, kes demam denggi di Selangor pada 2020 sehingga minggu epidemik ke-49 berakhir pada 5 Disember 2020 menurun 36.1% (24,385 kes) iaitu sebanyak 43,215 kes berbanding pada tahun 2019 sejumlah 67,600 kes. 

Kempen 10 minit seminggu mengenai denggi yang dijalan oleh Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Subang Jaya  pada Program Pemberdayaan Komuniti Bersih dan Ceria mendapat sambutan penduduk.

Disebabkan keadaan ini, masyarakat masih perlu kekal fokus terhadap kawalan pencegahan demam denggi dan ia merupakan tanggungjawab semua pihak khususnya bagi para penduduk di Daerah Petaling di mana kadar kes demam denggi lebih tinggi daripada daerah-daerah lain di Selangor.
Untuk itu, luangkanlah masa 10 minit seminggu pastikan semua takungan air yang tidak digunakan di kawasan persekitaran masing-masing dimusnahkan terutama dalam keadaan musim hujan yang sering berlaku sekarang, selain menjaga kebersihan tidak kira sampah sarap atau barangan buangan yang tidak berguna.
Manakala bagi takungan air kekal perlulah sentiasa ditutup dan masukan ubat jentik-jentik serta diperiksa setiap seminggu sekali.

Menyedari isu demam denggi yang agak serius sekalipun pada keseluruhan kes di Selangor menurun kira-kira 36.1%  pada 2020, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kos Rendah Seri Serdang yang juga dikenali sebagai Flat Ikan menganjurkan Program Gotong Royong Mencegah Denggi dan Membasmi Tikus.

Program selama empat jam sekalipun tidak dihadiri ramai penduduk kerana PKPB dengan aktiviti tertumpu kepada kerja-kerja memotong dahan-dahan pokok, pembersihan kawasan sekitar pangsapuri dan menangkap tikus yang berjalan lancar mematuhi SOP dan aspek keselamatan. 

Pangsapuri Kos Rendah Seri Serdang ini merupakan pangsapuri angkat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).


Kerja-kerja mengecat rumah sampah turut dilakukan semasa Program Pemberdayaan Komuniti Bersih dan Ceria di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6.

Dalam pada itu, sebagai usaha memberi pengetahuan dan kesedaran kepada penduduk setempat berkaitan pemberdayaan komuniti bersih dan ceria termasuk pencegahan denggi pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) MBSJ melaksanakan Program Pemberdayaan Komuniti Bersih dan Ceria bagi penduduk di Pangsapuri Enggang di Bandar Kinrara 6, Kinrara.
Program selama empat setengah jam turut disertai Pengarah JPM MBSJ, Muhamad Zaki Yusof dan Ahli Majlis MBSJ, Mehanathan a/l Embarmurthi menumpukan kerja-kerja gotong royong membersih kawasan pintu masuk utama ke pangsapuri berkenaan, mengecat rumah sampah blok C, kempen basmi denggi 10 minit seminggu dan program kitar semula.
Program yang dijalankan dengan kerjasama penduduk dan para pegawai MBSJ selain menceriakan suasana sekitaran juga bertujuan mendidik masyarakat mengenai keindahan dan kebersihan kawasan selain memberi pengetahuan dan kesedaran kepada penduduk setempat mengenai isu denggi  yang masih menjadi masalah kepada masyarakat sekalipun dalam suasana PKPB sekarang ini. - KitaReporters

Setelah dicat dengan warna yang cerah Dewan Komuniti Pangsapuri Enggang di Bandar Kinrara 6 kelihatan lebih menarik dan ceria.

Dahan pokok yang menganggu di kawasan parking dipotong semasa kerja gotong royong oleh penduduk Pangsapuri Kos Rendah Seri Serdang.


Kerja-kerja memunggah dan mengangkat barangan buangan untuk diletakkan pada tempat khas sebelum dimasukkan ke dalam lori sampah.

Antara penduduk dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Bandaraya Subang Jaya bersiap sedia memulakan aktiviti mengecat bangunan pada Program Pemberdayaan Komuniti Bersih dan Ceria di Pangsapuri Enggang.

Sebahagian penduduk yang menyertai Program Gotong Royong Mencegah Denggi dan Basmi Tikus di Rumah Pangsa Kos Rendah Seri Serdang bersemangat untuk memulakan aktiviti berkenaan.

0
0
0
0
0

Copy Link: