Sektor pembalakan masih mendominasi kerangka ekonomi negara ini sehingga mengganggui dan memusnahkan habitat satwa (haiwan) liar. - Kredit foto: ismaweb.net 


Hutan diteroka dan ditebang untuk memenuhi kantung ekonomi berasaskan pembalakan dan perladangan.

Apakah yang berlaku dengan habitat satwa (haiwan) liar yang tidak berdosa? Hutan terus menjadi gondol sekali gus mengganggu ekosistem. 

Satwa berkenaan kehilangan tempat tinggal dan kawasan rayau untuk mencari makanan. Sesetengahnya tewas di tangan pemburu haram yang rakus memperoleh keuntungan.


Lagi  kisah-kisah menarik berkaitan gajah:

https://kitareporters.com/search?search=gajah


Gajah liar antara sasaran pemburu haram untuk memperoleh kulit dan gading bagi tujuan komersial. - Kredit foto: bharian.com.my  


Maka berkeliaranlah satwa seperti gajah liar 'berhijrah' ke kawasan pertanian dan kampung untuk memperoleh makanan.

Apabila kejadian itu berlaku, manusia kerap 'menyalahkan' fauna berkenaan setelah mengalami kemusnahan harta benda seperti tanaman. 


Kawanan gajah liar berkeliaran mencari makanan kerana habitat satwa itu diganggu dan musnah akibat penebangan hutan kawasan Hulu Tembeling, Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Hulu Tembeling  


Hakikat ini dialami seramai tiga orang pengusaha pertanian Lembah Gelanggi, Pulau Tawar, dekat Jerantut berdepan kerugian sebanyak RM50,000 apabila kawasan projek tanaman komersial dicerobohi gajah liar pada awal pagi hari ini Isnin, 15 Februari 2021.

Kawasan yang musnah iaitu tanaman pisang jelai berangan seluas empat hektar, tebu (dua hektar), nanas MD2 (empat hektar) dan sayur-sayuran (1.2 hektar) 


ZAINUL ISMAIL


Ketua Projek Pertanian Lembah Gelanggi, Zainul Ismail, 64, berkata, pencerobohan haiwan liar itu berlaku kira-kira pada pukul 4 pagi 15 februari 2021 telah memusnahkan keseluruhan kawasan tanaman itu.

"Kawanan gajah liar ini terdiri daripada antara 10 hingga 12 ekor dari Hutan Simpan Tekam - Tekal mula menceroboh pada awal pagi setelah merosakkan pagar dawai di kawasan tanaman bersempadan dengan ladang sawit berdekatan Felda Kota Gelanggi.

"Kejadian ini sudah berlaku hampir 20 kali sejak awal bulan Januari 2021, manakala mulai tiga hari lalu, gajah liar ini semakin 'ganas' sehingga merosakkan keseluruhan tanaman di sini," katanya di tapak projek di Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut.


Sebahagian tanaman tebu turut dimusnahkan kawanan gajah liar di kawasan pertanian Lembah Gelanggi Pulau Tawar, Bukit Rang Jerantut hari ini (15 Februari 2021). - Kredit foto: Zainul Ismail


Zainul yang juga Pengerusi Persatuan Kontraktor Jerantut berkata, tanaman pisang, nanas dan tebu sudah mencapai matang dan boleh dipasarkan pada  penghujung bulan Februari ini menjadi sasaran gajah liar sebagai makanan dan selebihnya dirosakkan.

"Pelbagai cara kita lakukan untuk menghalau haiwan ini seperti membakar tayar terpakai, mercun dan membina pagar dawai, tetapi kesemuanya gagal.

"Kini, projek membina parit berdekatan sempadan hutan sedang diusahakan menerusi bantuan Jabatan Pertanian sebagai alternatif terakhir menghalang gajah liar masuk ke kawasan tanaman ini," katanya. 


Pintu pagar kawasan tanaman turut dirosakkan oleh gajah liar ketika mula menceroboh pada awal bulan Januari 2021 lalu. - Kredit foto: Zainul Ismail  


Pengusaha pertanian, Maradzuan Abd Ghani menunjukkan sebahagian tanaman nanas seluas empat hektar musnah apabila diceroboh kawanan gajah liar di Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut hari ini. - Kredit foto: Zainul Ismail


Kata Zainul, dia bersama rakan pengusaha kerap berkawal di pondok ladang di situ untuk menghalau gajah, tetapi tidak mampu lagi kerana bimbang ancaman keselamatan setiap kali gangguan haiwan itu.

"Kami sudah menghantar surat rasmi aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) malahan bertemu dengan  Pengarahnya di Kuantan pada bulan Januari lalu melaporkan hal ini, tetapi masih belum apa-apa tindakan dibuat," katanya.  

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Zainul berkata, mereka (pengusaha) tidak serik dan tetap berusaha menanam semula benih nanas, tebu dan pisang  walaupun masih berdepan dengan ancaman tersebut.

"Sejak penularan wabak COVID-19 tahun lalu, kami kehilangan pendapatan akibat ketiadaan kerja di sektor pemborongan (kontraktor) lantas mengalih bidang pertanian komersial untuk menampung pendapatan keluarga dan perbelanjaan lain," katanya. 

Cuma tinggal kawasan tanaman kangkung dan bayam belum diganggu gajah liar yang boleh dipetik dan dipasarkan untuk modal tanaman dan perbelanjaan keluarga. - Kredit foto: Zainul Ismail   


Sementara seorang pengusaha, Maradzuan Abd Ghani, 50-an, berkata cuma tinggal beberapa batas tanaman sayur bayam dan kangkung masih belum diceroboh gajah liar mereka petik untuk dipasarkan. 

"Kami segera memetik sayur-sayuran ini dikhuatiri akan diceroboh gajah liar malam ini untuk dipasarkan  bagi menampung modal mengusahakan semula projek tanaman dan juga perbelanjaan keluarga.

"Kita berharap Perhilitan dapat membantu menghalau atau segera memindahkan gajah liar bagi mengelakkan pencerobohan berulang serta pengusaha di sini menanggung lebih banyak kerugian termasuk ancaman keselamatan," ujarnya. - KitaReporters


'Bersabarlah dengan ujian Allah' ... barangkali itulah ungkapan yang diluahkan oleh  Maradzuan Abd Ghani apabila tanaman nanas dimusnahkan oleh kawasan gajah liar hari ini (15 Februari 2021). - Kredit foto: Zainul Ismail.

3
0
0
0
0

Copy Link: