Gambar arkib. - Kredit foto: Astro Awani


ANTARTIKA yang menyimpan kira-kira 90 peratus air tawar dalam bentuk lapisan air, glasier dan bongkah ais tidak terlepas daripada mendapat kesan buruk akibat pemanasan global yang akhirnya akan membawa kepada bencana ke seluruh bumi seperti kemarau melampau, gelombang haba dan banjir besar.

Penglibatan Malaysia dalam penyelidikan Antartika pula bermula pada 1999 setelah beberapa penyelidik melalui Program Penyelidikan Antartika Malaysia (MARP) buat pertama kali menyertai ekspedisi saintifik dengan kerjasama New Zealand.

Namun sejarah terpahat apabila Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) ditubuhkan pada tahun 2002 dengan peningkatan bilangan penyelidik daripada pelbagai universiti tempatan yang bertindak sebagai penyelaras penyelidikan.

Rentetan daripada hasil aktiviti penyelidikan yang dijalankan penyelidik, Malaysia sekali lagi menyatakan komitmen sebagai negara aktif yang memandang serius akan isu alam melibatkan benua Antartika dengan menubuhkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) pada Julai 2012.



Penyelidik Antartika daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin berkata, setiap perubahan yang berlaku di benua Antartika akan memberi kesan kepada seluruh negara termasuk Malaysia.

“Antartika mempunyai petunjuk penting kepada proses rumit planet kita. Selalunya digambarkan sebagai makmal semula jadi, ia memainkan peranan penting dalam sistem iklim Bumi.

"Lautan Selatan yang mengelilingi Antartika menghubungkan tiga lembangan lautan utama dan peredaran air dan suhunya sangat dipengaruhi ais di Antartika.

“Lautan Selatan ialah sinki karbon paling berkuasa dan menyerap kira-kira 30 peratus daripada keluaran karbon dioksida yang disebabkan oleh manusia. Kemusnahan ekosistem dan biodiversitinya akan mengurangkan keupayaannya untuk menangkap karbon, seterusnya meningkatkan suhu bumi," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah NARC itu juga menyeru masyarakat untuk menyebarkan maklumat berkaitan benua Antartika dan kepentingannya dalam kehidupan. 

“Ia juga penting untuk ambil perhatian bahawa Lembaran Ais Antartika adalah simpanan terbesar air tawar di bumi kira-kira bersamaan dengan hampir 60m paras laut. Kemusnahan amat besar jika sekiranya bekuan ais ini mencair.

“Dalam istilah yang lebih mudah, apa yang berlaku di Antartika memberi kesan kepada seluruh planet dan Malaysia tidak akan terlepas daripada kesannya," katanya lagi.



Komitmen kerajaan Malaysia dalam merangka pelan tindakan menjadi sebahagian daripada anggota negara yang menjalankan penyelidikan benua Antartika harus dipuji.

Malaysia melalui Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) dan YPASM telah menyumbang dana lebih daripada RM8 juta dalam bentuk geran penyelidikan dan biasiswa.

Walaupun negara tidak mempunyai pangkalan penyelidikan rasmi di benua beku tersebut, namun dengan sumbangan dana yang telah dibelanjakan itu cukup menzahirkan hasrat Malaysia serta sebagai petunjuk utama untuk membantu penyelidik mendapatkan kerjasama dengan saintis dari negara lain.

Malaysia adalah antara 196 negara yang menandatangani Perjanjian Paris yang bertujuan untuk mengekalkan kenaikan purata suhu global di bawah 1.5°C di atas paras zaman praperindustrian.

Selain itu, antara sasaran Perjanjian Paris adalah untuk memperlahan atau menghentikan kehilangan Lembaran Ais Antartika dan kesannya dalam meningkatkan paras laut.

Dr. Rauhan menegaskan bahawa penyelidikan perlu dilakukan pada skala yang bersesuaian kerana Malaysia juga tidak terkecuali sebagai penyumbang perubahan iklim.

“Sesetengah mungkin berpendapat bahawa kita harus menumpukan pada usaha dalam skala serantau tanpa perlu komited kepada usaha yang lebih besar di benua yang jauh dari kita. 

"Tetapi perlu sedar bahawa kita juga menyumbang kepada pemanasan global dan tanggungjawab untuk memelihara Antartika tidak seharusnya diketepikan," jelasnuya. 

Katanya, isu-isu berkaitan perubahan iklim perlu diperjelas kepada semua lapisan masyarakat dan usaha menangani impak perubahan iklim memerlukan sokongan daripada pelbagai kementerian dan agensi serta NGO agar Malaysia berupaya menjadi peneraju dalam menangani perubahan iklim dan bukan hanya sekadar pemerhati atas usaha yang dilakukan pihak lain. - KitaReporters


Kredit foto:  Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM)

11
9
0
4
0

Copy Link: