DATA dari Globocan (Global Cancer Observatory), iaitu platform berasaskan web interaktif yang menampilkan statistik barah global, Malaysia mencatatkan peratusan kematian tertinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara di ASEAN iaitu sebanyak 24.7 peratus.

Manakala Filipina mencatatkan 23.3 peratus; Indonesia (21.5 peratus); Singapura (19.6 peratus), Thailand dan Vietnam masing-masing (13.8 peratus).

Menyedari bahaya dan risiko tinggi yang perlu ditanggung oleh wanita di negara ini terhadap penyakit itu, Hospital Gleneagles Pulau Pinang melancarkan Kempen Kesedaran Kanser Payudara, "Pink Heart Strong Soul" bagi meningkatkan kesedaran kanser payudara dan kepentingan pengesanan pada peringkat awal. 

Petugas Hospital Gleneagles Pulau Pinang memberi penerangan kepada pengunjung mengenai bahaya kanser payudara dan kaedah mengesan penyakit itu di peringkat awal.


Pengurus Kanan Pemasarannya, Ai Leen Foo berkata, kempen itu juga bertujuan menyebar luas mengenai kesihatan payudara dan langkah pencegahan yang paling berkesan, memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai panduan penjagaan kesihatan selain sokongan untuk mereka yang menghidap kanser. 

Beliau berkata, barah payudara ini tidak mengenal kelas sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya dan ia menyerang sesiapa saja yang tidak menjaga kesihatan jika leka dan lambat bertindak.

“Laporan Malaysia National Cancer Registry mendapati kanser payudara dan kanser serviks adalah dua punca utama kematian wanita Malaysia.

“Malangnya, 43 peratus daripada kes kanser payudara di Malaysia, pesakit didiagnosis pada peringkat akhir, menjadikannya ia penyebab yang paling biasa di kalangan wanita di negara ini.

"Kira-kira 15 peratus barah kanser payudara di negara ini dikesan pada usia kurang 40 tahun dan angka ini semakin meningkat.

Sesi ceramah disampaikan pakar perubatan bertajuk, "Diagnosis Awal dan Pengesanan Kanser Payudara" memberi banyak info mengenai bahaya kanser payudara.


"Kebanyakan pesakit ini beranggapan mereka bebas daripada serangan kanser payudara sehingga timbul satu benjolan yang mungkin ketika itu sudah berada pada tahap tiga atau empat," katanya pada perasmian kempen kesedaran kanser payudara Pink Heart Strong Soul di Design Village Mall, Pulau Pinang pada 22 Oktober 2023 lalu. Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Jagdeep Singh Deo.

Oleh itu, katanya, program itu mahu meningkatkan kesedaran perlunya pemeriksaan dan pengesanan awal. Sebaiknya, wanita berusia 20 tahun ke atas melakukan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan selepas haid.

"Bagi wanita berusia 40 tahun ke atas disarankan melakukan ujian saringan kanser payudara dengan mammogram atau ultrasound payudara walaupun tiada gejala dirasai dan sekiranya ada perubahan, perlu diperiksa lanjut oleh doktor pakar bedah payudara.  "Kajian menunjukkan kalau kesan lebih awal, peratus sembuh lepas rawatan kanser payudara peringkat awal lebih 90 peratus dibandingkan hanya 10 hingga 15 peratus saja untuk peringkat lewat yang sudah merebak ke organ lain," kata Leen Foo. 

Jagdeep Singh Deo (dua dari kanan) bersama Ai Leen Foo (dua dari kiri), Dr Kirubakaran (kiri) dan Dr Gan Kam Ling ketika majlis perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara, "Pink Heart Strong Soul" di Design Village Mall, Pulau Pinang.


Sempena kempen itu, pihak penganjur menampilkan sesi ceramah kesihatan  bertajuk ‘Diagnosis Awal dan Pengesanan Kanser Payudara  oleh Pakar Bedah Am, Payudara, Endokrin dan Bariatrik, Dr Kirubakaran Malapan; dan Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Gan Kam Ling. 

Juga, terdapat perkongsian daripada pesakit kanser yang sembuh, Mama Azlina, dari MAKNA, yang berkongsi pengalaman risiko kanser payudara dan rawatan yang dilaluinya. 

Sementara itu, pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen kesedaran kanser payudara Pink Heart Strong Soul, memberi peluang orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan sendiri payudara, indeks jisim badan (BMI), glukosa dan saringan tekanan darah. 


 Info: Tanda kanser payudara: 


  • Bengkak pada sebahagian payudara 
  • Kulit jadi berkedut seperti kulit limau 
  • Puting masuk ke dalam atau sakit 
  • Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara 
  • Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.  
  • Ketulan pada bahagian ketiak


Pengunjung berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan percuma sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Design Village Mall, Pulau Pinang.

16
6
0
13
0

Copy Link: