Mohiadin Bahado (tengah) memberi taklimat ringkas mengenai operasi PJNH kepada kumpulan bekas pelajar 

SMKJ 1964.


SIKAP ambil peduli sebagai satu keluarga Malaysia Madani mendorong 12 bekas pelajar Sekolah Menengah Khir Johari (SMKJ) yang lahir pada 1964 (SMKJ 1964), Beranang, Selangor bersepakat dan bekerjasama mengumpul dana untuk membeli barangan makanan asas bagi disumbangkan kepada Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, pada 30 Julai 2023.

Namun begitu paling menyentuh perasaan bekas pelajar sekolah itu apabila tidak mengetahui kewujudan pusat jagaan warga emas di kampung berkenaan yang merupakan tempat kelahiran dan membesar mereka selama ini.

Pengerusinya, Mazri Bujang, berkata selepas mendapat pengesahan daripada rakan serta penduduk kampung kami berbincang untuk turun padang bagi menyantuni warga emas di pusat berkenaan yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran.


Mazri Bujang mengetuai rakan-rakan beramah mesra dengan warga emas di PJNH.


Menurutnya, selepas datang berkunjung dan mendengar taklimat daripada Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado mereka terkedu dengan sikap bertanggungjawab petugas serta sukarelawan di pusat berkenaan menyantuni warga emas. 

Tambahnya, mereka semua berasa kagum dengan sikap dedikasi dan kasih sayang para petugas dan sukarelewan mengurus serta menyeliakan warga emas tiada waris atau disisihkan ahli keluarga itu terutama yang uzur atau telantar di atas katil kerana menghidap pelbagai penyakit. 

“Petugas atau sukarelawan ini tidak berasa kekok untuk menukar lampin pakai buang, memapah ke bilik air untuk dimandikan, menyuapkan makanan serta ubat dan sebagainya walaupun tiada pertalian keluarga. 

“Apabila ditanya dengan Mohiadin, dia memaklumkan itulah tugas harian petugas atau sukarelawan di pusat ini sekian lama tanpa berasa jemu dan sentiasa berharap apa yang dilakukan itu membuka pintu hati sanak saudara warga emas terbabit untuk bertanya khabar atau sebagainya,” ujar beliau. 


Sebahagian bekas pelajar SM Khir Johari 1964 merakamkan kenangan bersama-sama Mohiadin (tengah) di depan pintu utama selepas mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Nur Hasanah, di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor pada 30 Julai 2023.


Dalam lawatan lebih dua jam itu bekas pelajar terbabit dibawa untuk beramah mesra dengan warga emas yang datang dari pelbagai negeri termasuk dari negara seberang yang hidup sebatang kara dan mereka dibuang anak atau ahli keluarga kerana uzur serta membebankan. 

Bekas pelajar itu juga dibawa melawat ke bilik warga emas serta diberikan penerangan mengenai pelbagai bantuan yang diperlukan bagi kelangsungan hidup penghuni di pusat berkenaan termasuk barangan makanan keperluan asas, lampin pakai buang, sumber makanan kesihatan serta pengubahsuaian bangunan untuk keselesaan mereka.


Kumpulan bekas pelajar SMKJ 1964 melakukan gimik penyerahan barangan makanan keperluan asas kepada Mohiadin termasuk sumbangan Hep Kek oleh Syarikat TC Of TC Sdn Bhd.


Mazri berkata, dia bersama-sama rakan akan menguar-uarkan mengenai pusat jagaan itu kepada bekas pelajar SMKJ lain yang tidak dapat hadir untuk menggerakkan kerjasama bagi mengumpul dana supaya dapat berterusan menghulurkan bantuan.

Tambahnya, dia berkeyakinan usaha itu dapat dilakukan kerana kumpulan berkenaan mempunyai lebih 100 rakan yang sentiasa bekerjasama untuk membantu mereka yang ditimpa musibah kerana sebelum ini sering menghulurkan bantuan kepada keluarga rakan pelajar yang uzur dan sebagainya.

“Inilah sahaja bakti yang dapat kami sumbangkan kepada mereka berkenaan terutama apabila mendapat berita atau dimaklumkan rakan terdekat mengenai kerja amal kebajikan yang perlu dilakukan,” katanya.


Mohiadin (kanan) memberi penerangan kepada kumpulan bekas pelajar SMKJ 1964 mengenai surau PJNH yang memerlukan pengubahsuaian untuk keselesaan warga emas bersolat dan mengikuti kelas pengajian agama.


Setiausaha kumpulan bekas pelajar itu, Salimah Hashim, berkata kunjungan itu membuka mata mereka untuk lebih peka serta sentiasa ambil peduli untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan termasuk pusat jagaan yang diwujudkan semata-mata untuk membela nasib warga emas.

Menurutnya, banyak pelajaran yang diperolehi selepas mengunjungi PJNH kerana dapat mengetahui ada dalam kalangan masyarakat terdapat mereka yang sanggup mengetepikan keselesaan hidup semata-mata bagi memberi keceriaan kepada warga emas bernasib malang.

“Saya bersama-sama rakan sentiasa aktif dan mungkin selepas ini akan lebih tersusun untuk membantu masyarakat terutama bagi mengenal pasti bantuan yang perlu disalurkan kerana sebagai contoh pusat jagaan mereka amat memerlukan barangan dapur,” ujarnya. - KitaReporters


Mazri menerima cenderamata daripada Mohiadin bersempena lawatan ke PJNH dengan memberi sumbangan barangan makanan keperluan asas dan wang tunai.

31
12
0
15
0

Copy Link: