Terbaiklah Wayout Solution! Hadiah senyuman kepada 100 anak yatim! Beri sumbangan baju raya!

Published by
KitaReporters

Syarikat Wayout Solution Sdn Bhd bermurah hati memberi sumbangan baju raya kepada 100 anak yatim secara percuma sempena Aidilfitri.


ISLAM adalah agama yang prihatin dan menyayangi anak yatim. Ini terpancar melalui contoh teladan yang baik oleh Rasulullah SAW apabila Baginda menyantuni anak-anak yatim dengan penuh kasih sayang. Al-Quran turut menyatakan kelebihan mereka yang menyantuni anak yatim seperti Allah berfirman yang bermaksud,

“Dan mereka bertanyakan kepada mu (wahai Muhammad) terhadap anak-anak yatim. Katakanlah bahawa berbuat islah (kebaikan) kepada mereka itu (anak-anak yatim) adalah merupakan suatu kebaikan.” - Surah Al-Baqarah ayat 220.

Melihat kebaikan yang banyak bila membuat kebajikan kepada golongan kurang bernasib baik itu,  Wayout Solution Sdn Bhd dengan kolaborasi bersama Jakel memberi sumbangan baju raya percuma kepada lebih 100 anak yatim menerusi program Infaq Mahabbah Riang Raya sempena Aidilfitri, baru-baru ini. 

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk meraikan mereka dan berkongsi rezeki dengan masyarakat terutamanya golongan yang kurang bernasib baik.


Anak-anak yatim berpeluang memilih sendiri baju raya yang mereka sukai daripada gedung pakaian Jakel.


Pengarah Wayout Solution, Daniel Sharifuddin, berkata sumbangan yang disampaikan adalah simbolik keprihatinan pihak syarikat kepada komuniti setempat agar kegembiraan Aidilfitri yang disambut umat Islam seluruh negara dapat sama-sama diraikan. 

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, setiap penerima bebas memilih set baju raya yang mereka suka daripada variasi koleksi yang ditawarkan oleh Jakel termasuk pelbagai kelengkapan lain yang ditaja sepenuhnya oleh Wayout Solution Sdn Bhd. 

"Kami berharap usaha ini dapat menghadirkan sinar kebahagiaan dan senyuman kepada setiap penerima, dan itulah yang menjadi pembakar semangat kami untuk menganjurkan program berkonsepkan kebajikan seperti ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Jakel, masjid, surau dan NGO yang memberi kerjasama menjayakan program ini. Insya-Allah, inisiatif ini akan diperluas lagi pada masa akan datang bagi memastikan lebih ramai kelompok masyarakat dapat dibantu dan disantuni," katanya. 

Program itu turut menampilkan dua slot menarik iaitu Upin Ipin serta Didi and Friends, di mana setiap slot disertakan dengan pemberian sumbangan khas seperti songkok, sampin tradisional, kurma, beg sekolah dan pelbagai hadiah menarik kepada anak-anak yatim. - KitaReporters


Syarikat Wayout Solution Sdn Bhd turut memberi sumbangan lain kepada anak-anak yatim bertuah termasuk beg sekolah dan songkok.

18
9
0
13
0

Copy Link: