Ahmad Zulqurnain Ghazali (dua dari kanan) bersama-sama kakitangan mendengar taklimat ringkas mengenai PJNH daripada Mohiadin Bahado.


PENGHUJUNG Ramadan 2023 lalu digunakan oleh syarikat Geoventure Solution Sdn Bhd, Kajang, Selangor memupuk nilai pekerti mulia dalam kalangan kakitangan apabila mengadakan kunjungan amal jariah ke Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pada 18 April 2023.

Kunjungan amat bermakna bagi kakitangan terbabit dalam memupuk kasih sayang kepada warga emas apatah lagi penghuni di pusat berkenaan apabila sesetengah mereka sebaya dengan usia ibu bapa mereka yang sentiasa menagihkan perhatian.

Pengarah syarikat berkenaan, Ahmad Zulqurnain Ghazali yang mengetuai kunjungan itu, berkata dia sentiasa berfikir dalam kesibukan bekerja bagaimana cara yang boleh dilakukan untuk memupuk nilai murni dalam kalangan kakitangan.


Ahmad Zulqurnain (dua dari kanan) bersama-sama kakitangan menunjukkan barangan makanan keperluan asas yang disumbangkan termasuk dua kerusi roda untuk PJNH.


Menurutnya, langkah itu dianggap tepat kerana secara tidak langsung mampu memupuk disiplin dalam kalangan kakitangan apabila melakukan tugasan kerana gaji atau pendapatan yang diperoleh boleh dikongsi dengan mereka yang memerlukan pembelaan dan secara tidak langsung menambahkan keberkatannya.

Jelasnya, apabila cadangan dibuat untuk mengunjungi pusat jagaan itu, ramai kakitangan yang bersetuju dan bersepakat menghulurkan sumbangan bagi membeli barangan keperluan asas dan dua kerusi roda yang boleh dimanfaatkan warga emas.

“Mengambil keberkatan pada hujung Ramadan saya bersama enam kakitangan mengunjungi PJNH menyampaikan sumbangan berkenaan di samping mendekati serta bermesra dengan warga emas yang terlalu mengharap perhatian daripada seorang anak apabila terdampar tanpa waris atau disisih keluarga.

“Sayu hati kami apabila ada sesetengah warga emas ini yang hanya mengangguk kepala apabila disapa seolah-olah menahan sebak dan rasa sedih tidak dipedulikan anak-anak atau ahli keluarga sehingga tersisih di PJNH,” katanya. 


Norliza Mohamed Adnan dan Anis Abdullah bersama-sama kakitangan MIMOS Berhad menyantuni warga emas PJNH.


Bagi dua Eksekutif MIMOS Berhad, Norliza Mohamed Adnan dan Anis Abdullah yang turut berkunjungan ke PJNH pada hari yang sama memaklumkan kehadiran mereka itu adalah bagi meninjau keperluan pusat berkenaan yang boleh disalurkan. 

Menurut mereka, dengan cara itu, setiap sumbangan yang akan dihulurkan nanti termasuk kewangan akan memberi manfaat kepada warga emas di pusat berkenaan selain tidak berlaku pembaziran jika ada sesetengah barangan itu sudah agihkan oleh pihak lain.

Jelas mereka, daripada taklimat oleh Pengerusi PJNH itu, Mohiadin Bahado, mereka mendapat maklumat yang tepat mengenai keperluan atau pun tajaan dari segi kewangan bagi menambahkan kemudahan untuk keselesaan penghuni pusat berkenaan.

“Paling penting kami mendapat penjelasan bahawa PJNH beroperasi hasil daripada sumbangan atau infak pelbagai pihak termasuk orang ramai manakala warga emas yang menghuni tidak dikenakan sebarang bayaran,” ujar mereka.


Pengetua Tadika Kasih Safwanah, Norizwana Anuar (dua dari kanan) bersama-sama muridnya merakam kenangan dengan pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor.


Sementara itu, Tadika Kasih Safwanah di Nilai Impian, Negeri Sembilan, membawa 11 muridnya menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 18 April 2023.

Pengetuanya, Norizwana Anuar, berkata kunjungan itu sebagai memberi didikan moral mulia dalam kalangan murid pada usia yang masih kanak-kanak untuk menyayangi  orang tua seperti ibu bapa mereka.

Tambahnya, kunjungan berkenaan juga memberi imbauan kepada warga emas di PJMM yang mungkin ada antara mereka memiliki cucu atau anak kecil seperti itu sebelum mereka tersisih tanpa dipedulikan oleh ahli keluarga.


Tersentuh hati warga emas di PJMM apabila kanak-kanak tadika bersalaman dengan mencium tangan mengimbaukan ingatan mereka kepada cucu yang sudah lama tidak bertemu.


Menurutnya, telatah murid tadika itu yang bersalaman dan mencium tangan mereka menyebabkan ada warga emas terbabit mengesat air mata kesedihan kerana sudah lama tidak disantuni atau diziarahi anak atau cucu terutama menjelang satu Syawal.

“Selain melawat pusat jagaan warga emas, sebelum ini murid tadika dibawa melawat rumah anak yatim sekitar Selangor bagi bermesra dengan rakan sebaya yang hilang tempat bermanja dan terpaksa berdikari hidup bersama-sama  rakan,” kata beliau. - KitaReporters


Kanak-kanak tadika juga dibawa menyantuni warga emas yang terlantar di atas katil di PJMM kerana keuzuran.

24
18
0
13
0

Copy Link: