BENGKEL Kelestarian Bahasa Melayu (BM) menjadi landasan terbaik kepada 36 guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn (IPGTHO) , Batu Pahat, Johor untuk menambah keyakinan diri sebelum bergelar seorang pendidik.

Pelaksanaan bengkel itu di Sekolah Kebangsaan Felda Chemplak (SKFC), Labis, Johor juga diharapkan memberi ilmu dan nilai tambah kepada guru pelatih terbabit, guru-guru serta murid SKFC dengan membabitkan kerjasama semua pihak yang diadakan pada 18 Julai 2023.

Pengerusi  jawatankuasa bengkel berkenaan yang juga Guru Besar SKFC, Mohd Ali Hadoon, berkata walaupun bengkel itu merupakan program IPGKTHO, semua warga sekolah berkenaan memberi kerjasama dan sokongan padu bagi menjayakannya.



Menurutnya, bengkel itu bukan sahaja suatu perkongsian ilmu pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru SKFC dengan guru pelatih pengajian Melayu di samping membantu meningkatkan kemahiran BM apabila dapat mengadaptasi dalam situasi sebenar di sekolah nanti.

Tambahnya, bagi merealisasikan bengkel itu 115 murid Tahap Dua dengan dibantu oleh 10 guru SKFC, empat pentadbir serta tiga Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terbabit secara langsung dalam bengkel itu bersama guru pelatih berkenaan.

“Bengkel ini yang akan memberi nilai tambah kepada guru BM khusus dalam penulisan dan pelaksanaan aktiviti didik hibur turut mendapat kerjasama lima pensyarah (fasilitator) dan seorang pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah + (SISC+),” katanya.


Guru pelatih IPGTHO melihat dan mengawal selia murid SK Felda Chemplak melakukan aktiviti didik hibur dalam bengkel itu.


Majlis perasmian dan penutupan bengkel itu yang diadakan di Dewan Seri Muafakat SKFC disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang, Haslinda Salleh. 

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah IPGTHO, Dr Masitah Mohammad Yusof; Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGTHO, Ahmad Azmi Jeonmani; Yang Dipertua PIBG SKFC, Hamrin Paimin; pegawai PPD Segamat; AJK PIBG; guru-guru SKFC; guru pelatih; dan murid Tahap Dua terbabit.

Sebelum majlis itu berlangsung diadakan simbolik penyerahan murid terbabit kepada IPGTHO, dengan diikuti aktiviti senamrobik, aktiviti Kelestarian BM, manakala tetamu turut mengadakan lawatan ke bilik khas SKFC diakhiri dengan sesi menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) di bilik TS25.


Guru pelatih IPGKTHO membimbing murid dalam Bengkel Kelestarian Bahasa Melayu yang diadakan di SK Felda Chemplak, Labis, Johor pada 18 Julai 2023. - Kredit foto: Cikgu Seri


Mohd Ali berkata, bengkel itu akan memberi pendedahan yang amat berguna kepada guru pelatih dan murid SKFC berkaitan aktiviti didik hibur dalam situasi sebenar di samping menyerlahkan peranan guru sebagai pemudah cara bagi proses pembelajaran dan murid bertindak sebagai pembelajar aktif. 

Menurutnya, objektif itu akan mewujudkan semangat bekerjasama dan rasa tanggungjawab dalam satu kumpulan yang secara tidak langsung menyerlahkan ciri-ciri kepemimpinan murid, mengeratkan silaturahim dan kemesraan guru serta murid.

Tambahnya, pelaksanaan bengkel itu di SKFC adalah sebagai langkah untuk memberi pendedahan dan pengalaman sebenar kepada guru pelatih IPGKTHO sebelum mereka ditempatkan di sekolah sebagai guru kelak.

Jelasnya, bengkel berfokuskan siri dalam bahasa itu merupakan satu program bagi membentuk kreativiti dalam pengajaran BM atau dikatakan sebagai belajar sambil bermain yang merupakan mata pelajaran wajib dikuasai oleh murid.


Dr Masitah Mohammad Yusof (kiri) dan Mohd Ali (tengah) mengiringi Haslinda Salleh (kanan) yang hadir untuk menyempurnakan majlis perasmian dan penutupan Bengkel Kelestarian Bahasa Melayu  IPGTHO di SK Felda Chemplak.


Kata Mohd Ali lagi, namun tidak salah apabila cara PdP di dalam serta di luar bilik darjah itu dipelbagaikan untuk melahirkan keseronokan seterusnya cinta terhadap BM dalam kalangan murid yang sekali gus menghilangkan rasa jemu atau bosan.

“Kerana  itu penerimaan guru dan warga sekolah SKFC sangat positif kerana bengkel ini adalah program serampang dua mata, apabila dua perkara dalam satu masa iaitu murid seronok, pelajar IPGTHO dan guru juga mendapat pengalaman bertukar-tukar teknik dalam pengajaran BM.

“Ini akan menjadi landasan dalam mengeratkan hubungan dengan rakan strategik antara IPGTHO dan institusi pendidikan. Guru pelatih pula memperoleh keyakinan diri , pengetahuan, kemahiran serta pengalaman sebenar yang sangat berharga.  

“Melalui perkongsian bengkel ini secara tidak langsung tahap profesionalisme guru terbabit dapat ditingkatkan kerana di samping mereka mengajar murid sekolah, mereka juga dapat belajar bagaimana mengurus atau mengatur sesuatu program, mengawal murid dan menyelaras,” ujarnya.


Murid Tahap Dua SK Felda Chemplak tekun melakukan aktiviti didik hibur dalam bengkel berkenaan.


Mohd Ali berkata, manfaat utama bengkel itu ialah perkongsian dari teori kepada aplikasi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) melalui pengajaran didik hibur dan permainan bahasa. Guru dan murid berkongsi bahan PdPc didik hibur dan permainan bahasa yang dihasilkan bakal-guru berkenaan.

Jelas beliau, didik hibur adalah satu pembaharuan yang cuba diperkenalkan kepada murid sebagai kaedah alternatif ketika proses pengajaran sesuatu subjek, tujuannya supaya sesi PdP sesuatu subjek itu menjadi seronok untuk diikuti murid.


Mohd Ali (tiga dari kiri) merakam kenangan bersama-sama Haslinda dan Dr Masitah (duduk, kanan) serta tetamu jemputan pada majlis perasmian dan penutupan Bengkel Kelestarian Bahasa Melayu IPGTHO di SK Felda Chemplak. 


Tambahnya, fokus pelaksanaan adalah kepada penguasaan kemahiran asas sesuatu subjek dalam kalangan murid melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penghayatan dan apresiasi itu perlu diterapkan secara terancang untuk murid sekolah rendah.

“Pendekatan mendidik sambil berhibur dipraktikan semasa sesi PdP,  ianya merupakan pengisian transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dalam pelajaran BM melalui kemahiran bahasa, aspek didik hibur dan aspek tatabahasa.   

“PIBG yang merupakan tulang belakang kepada sekolah amat berbangga dan berbesar hati kerana SKFC menjadi pilihan pertama IPGKTHO  untuk mengadakan bengkel ini bagi daerah Segamat,” ujarnya. - KitaReporters


Guru pelatih merakam kenangan bersama-sama Mohd Ali (duduk tengah), guru SK Felda Chemplak dan pensyarah IPGTHO.

46
14
0
12
0

Copy Link: