Pemangkin baharu! ZTNS, BMLR, Yayasan Pulau Orang Utan berpakat! Perkasa ekosistem pelancongan Perak!

Published by
KitaReporters

Kerjasama strategik antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dan Yayasan Pulau Orang Utan bakal menjadi pemangkin baharu dalam memperkukuh sektor pelancongan bersepadu di Perak.


Bangunan pejabat Zoo Taiping & Night Safari.


Ia dibuat menerusi pembangunan pakej pelancongan bersepadu menghubungkan tiga destinasi utama pelancongan di negeri ini.

Perkara itu dijalinkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai tiga pihak tersebut yang diadakan di Pavillion Zoo Taiping di Taiping pada 7 Julai 2026.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, MoU yang dimeterai itu merupakan langkah penting dalam membentuk kerjasama pelancongan dengan menggabungkan kekuatan rekreasi, konservasi hidupan liar, pendidikan dan pembangunan komuniti.

Beliau berpendapat, kerjasama itu bukan sekadar pemeteraian MoU, sebaliknya permulaan kepada usaha ke arah membangunkan rangkaian pelancongan yang mampu memberi impak kepada ekonomi negeri dan masyarakat setempat.

"Apa yang dimeterai ini bukan sekadar sebuah MoU, tetapi permulaan kepada pembentukan sebuah ekosistem pelancongan yang lebih bersepadu.

"Sudah tentu apabila berlakunya pemain berganding mahu menjadikan sesuatu kawasan itu menjadi tarikan pelancongan, konservasi serta memberi peluang ekonomi, pendidikan dan pembangunan komuniti yang mampan," katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara MPT, Yayasan Pulau Orang Utan dan BMLR di Dataran Pavillion Zoo Taiping di Taiping pada 7 Julai 2026.

Mohamed Akmal mewakili MPT, manakala Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad sebagai Pengerusi Yayasan Pulau Orang Utan, dan Md Nazri Tumin sebagai Pengarah BMLR.


Mohamed Akmal Dahalan (tengah), Prof Emeritus Dr Abdul Latif Mohamad (tiga dari kiri) dan Md Nazri Tumin (tiga dari kanan) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani di Zoo Taiping & Night Safari di Taiping.

Mohamaed Akmal berkata, perbincangan mengenai bentuk kerjasama itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dan dalam tempoh sebulan bagi membincangkan pakej yang akan dibuat melibatkan tiga pihak itu.

Beliau yakin melalui kerjasama berkenaan membuka peluang memperkenal pakej pelancongan yang menghubungkan Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama dengan Bukit Merah di Daerah Kerian sebagai laluan pelancongan baharu yang lebih menarik.

"Penglibatan Yayasan Pulau Orang Utan memberi nilai tambah menerusi program pendidikan berkaitan hidupan liar, khususnya kepada pelajar dan generasi muda bagi memahami kepentingan pemuliharaan biodiversiti," tambahnya.

Beliau berkata, kerjasama itu jelas membuka peluang  ke arah peningkatan kemasukan pelancongan termasuk pelancong asing.


Mohamed Akmal Dahalan (kiri) dan Dr Abdul Latif Mohamad (kanan) bertukar-tukar dokumen MoU

Sementara itu, Dr Abdul Latif berkata, sebanyak 14 ekor Orang Utan masih berada di Pulau Orang Utan di BMLR.

“Ramai pelancongan asing berkunjung ke pulau itu untuk melihat Orang Utan dan pelancong tersebut boleh dibawa ke ZTNS,” katanya lagi. -KitaReporters

5
9
0
4
0

Copy Link: